PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal tanpa dicabar mana-mana calon bagi jawatan Presiden PKR setakat pukul 5 petang semalam, sekali gus bakal menyaksikan Ketua Pembangkang itu berdepan laluan mudah mempertahankan jawatannya.
Bagaimanapun, menjelang Pemilihan PKR 2022 yang dijadualkan berlangsung Mei ini, empat jawatan Naib Presiden PKR dijangka bakal menyaksikan pertembungan sengit lapan hingga 16 calon.
Antara individu yang mengesahkan penyertaan mereka adalah Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chah Lih Kang; Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, G. Manivannan.
Selain itu, calon lain yang mengesahkan akan mencabar jawatan itu ialah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador; Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil dan bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak, M.A.Tinagaran.
Di Shah Alam, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari semalam turut mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden manakala Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun antara yang mengesahkan penyertaan mereka.
Dalam pada itu, kerusi Timbalan Presiden sehingga kini menyaksikan pertembungan dua nama besar PKR iaitu Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Ahli Parlimen Pandan, Mohd. Rafizi Ramli.
Sementara itu, Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail dalam makluman kepada Utusan Malaysia berkata, beliau akan bertanding bagi merebut kerusi Ketua Wanita dan Ketua Cabang Shah Alam.
Sementara itu, Anwar akan mempertahan jawatan Presiden dalam Pemilihan PKR untuk penggal 2022-2024.
Ketua Pembangkang itu mengesahkan perkara tersebut menerusi hantaran pejabat beliau yang dikongsikan di Facebooknya semalam.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertahankan jawatan Presiden Keadilan bagi penggal 2022/2024.
“Beliau telah mengemukakan permohonan untuk bertanding menerusi aplikasi ADIL pada pukul 12.14 tengah hari,” menurut hantaran tersebut semalam.
Anwar mengambil alih jawatan itu daripada isterinya yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selepas dibebaskan dari penjara.
Setakat ini, tiada mana-mana ahli PKR yang menawarkan diri bertanding jawatan nombor satu berkenaan bagi pencalonan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermula semalam. – UTUSAN










