Amanat Lebuhraya tawar beli empat syarikat konsesi - Utusan Malaysia

Amanat Lebuhraya tawar beli empat syarikat konsesi

gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad menawarkan untuk membeli 100 peratus kesemua empat syarikat konsesi, susulan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya di sekitar Lembah Klang.

Empat syarikat tersebut adalah Kesas Sdn. Bhd.(Kesas), Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn. Bhd. (Sprint) dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd. (Smart).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, syarikat swasta itu dipengerusikan oleh Tan Sri Alan Mohd Zainol, yang mana kesemua pemegang saham syarikat tersebut tidak berasaskan keuntungan (not for profit).

“Melalui kaedah penstrukturan semula ini, tiada lagi pemegang saham yang berorientasikan keuntungan yang akan melibatkan pulangan kepada pemegang saham dalam apa jua bentuk (seperti dividen).

“Pemegang-pemegang saham sedia ada pula yang antaranya terdiri daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), PNBM dan Lembaga Tabung Haji akan mendapat pulangan daripada pelaburannya lebih awal daripada sepatutnya,” katanya dalam kenyataan.

Oleh itu, katanya, pengguna lebuh raya berkenaan tidak perlu lagi khuatir akan kebarangkalian kenaikan kadar tol dan kerajaan juga tidak perlu lagi menggunakan hasil kutipan cukai daripada rakyat untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi.

“Kerajaan juga tidak boleh mengabaikan obligasinya dalam Perjanjian Konsesi sedia ada kerana ianya akan memberikan imej negatif kepada para pelabur yang akan menyebabkan kekurangan minat pelabur untuk melabur di Malaysia.

“Jika ini berlaku maka pelaburan di dalam negara akan berkurang dan akan menyebabkan rakyat menghadapi kesukaran. Ini selaras dengan Dasar Penswastaan, yang mana syarikat swasta masih lagi bertanggungjawab mengendalikan operasi dan menyelenggara lebuh raya berkenaan,” katanya.

Jelasnya, kerajaan juga telah memastikan bahawa Amanat Lebuhraya Rakyat perlu menyerap kesemua kakitangan sedia ada yang sedang berkhidmat di bawah keempat-empat syarikat konsesi berkaitan.

“Dengan itu, tiada isu pembuangan pekerja berhubung cadangan penstrukturan ini. Justeru, status bagi kesemua pekerja di bawah syarikat-syarikat konsesi ini adalah terjamin,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan bagi transaksi ini.

“Kerajaan juga tidak memberikan sebarang jaminan untuk pembiayaan Amanat Lebuhraya Rakyat bagi cadangan penstrukturan semula ini dan kerajaan juga tidak perlu menanggung sebarang kos penyelenggaraan dan operasi dengan penstrukturan semula ini.

“Syor pihak Amanat Lebuhraya Rakyat untuk mengekalkan kadar tol melalui Perjanjian Konsesi Tambahan adalah melibatkan semua kelas kenderaan bagi keempat-empat syarikat konsesi tersebut,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pihak kerajaan juga telah bersetuju untuk memberi pelanjutan tempoh konsesi kepada Kesas, LDP, Sprint dan Smart sebagai balasan tidak menaikkan kadar tol.

“Namun, lanjutan tempoh konsesi ini bukanlah hak eksklusif syarikat konsesi dan tertakluk kepada bilangan trafik serta analisa oleh pihak kerajaan dan semasa ke semasa.

“Dengan pelaksanaan penstrukturan semula ini, kerajaan akan dapat menjimatkan pembayaran pampasan dari 1 Januari 2022 sehingga tamat tempoh konsesi,” katanya.

Tambahnya, penjimatan bersih bagi pembayaran pampasan subsidi tol untuk keempat-empat lebuh raya tersebut adalah dianggarkan sebanyak RM4.3 bilion.

“Penjimatan ini boleh dimanfaatkan bagi kesejahteraan rakyat yang perlu diutamakan antaranya kemudahan infrastruktur negara serta lain-lain kemudahan kepada rakyat.

“Amanat dan prinsip penstrukturan ini adalah selaras dengan prinsip Keluarga Malaysia yang sentiasa mendahulukan keperluan dan kepentingan rakyat.

“Usaha untuk memuktamadkan pembelian syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ini adalah merupakan suatu inisiatif cadangan penstrukturan daripada pihak swasta yang memberikan situasi menang-menang serta menguntungkan kerajaan dan rakyat jua,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya