Aidilfitri: 80 peratus pasukan bomba bertugas di Hari Raya - Utusan Malaysia

Aidilfitri: 80 peratus pasukan bomba bertugas di Hari Raya

NORAZAM Khamis (dua kanan) menyaksikan penyerahan mok cek oleh Mohd. Khairuddin Othman kepada PBS Saujana Utama dekat Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di Kuala Selangor, Selangor. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Hanya 10 peratus sahaja daripada 1,700 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dibenarkan bercuti untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada Selasa ini.

Pembekuan cuti untuk sebahagian pasukan adalah untuk memastikan kawalan keselamatan dan pemantauan terhadap kawasan-kawasan perumahan dapat dijalankan serta memastikan pasukan bomba berada dalam keadaan siap siaga terhadap sebarang kecemasan.

Pengarahnya, Norazam Khamis memberitahu, langkah itu dibuat memandangkan rakyat di seluruh negara khususnya di negeri ini kembali dapat meraikan Aidilfitri selepas memasuki fasa endemik yang bermula pada 1 April lalu.

“Situasi boleh dikatakan kembali kepada biasa, justeru, pasukan bomba perlu berada dalam keadaan siap siaga. Memang ketika Aidilfitri, kita tidak benarkan ramai anggota bercuti kerana khuatir berlakunya banyak kes yang perlu kita terlibat.

“Jadi, penyediaan tenaga kerja yang ramai diperlukan bagi memastikan setiap operasi yang perlu dijalankan berjalan lancar. Kita akan membuat pemantauan di seluruh daerah dalam Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Iftar Perdana Sempena Pembinaan Balai Bomba Sukarela dan Sumbangan Kepada Jawatankuasa Penduduk (JKP) Saujana Utama di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Saujana Utama, di sini semalam.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut adalah Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd. Khairuddin Othman yang menyerahkan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM50,000 kepada Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Saujana Utama dan RM20,000 kepada JKP.

Menurut Mohd. Khairuddin, pembinaan balai bomba bagi PBS di Saujana Utama adalah penting berikutan tiada balai bomba berdekatan dengan kawasan Saujana Utama dan Bandar Puncak Alam serta peningkatan kes-kes kecemasan melibatkan khidmat khas.

“Saya difahamkan bahawa bomba sukarelawan di sini banyak terlibat dalam operasi iaitu sebanyak 369 kes pada tahun 2020 dan 472 kes pada tahun lalu. Justeru PBS Saujana Utama menjadi pasukan yang aktif.

“Pada tahun lalu, kerajaan negeri melalui salah sebuah anak syarikat menyumbangkan sebuah jentera bernilai kira-kira RM400,000 kepada PBS Saujana Utama,” ucapnya.

Ulas Norazam, beliau menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Selangor atas pemberian sumbangan tersebut dan menyatakan kewujudan PBS Saujana Utama dapat mengurangkan waktu bertindak daripada balai terdekat seperti di Kota Anggerik, Bestari Jaya dan Sungai Buloh. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya