300,000 warga Indonesia masuk Malaysia selepas Aidilfitri - Utusan Malaysia

300,000 warga Indonesia masuk Malaysia selepas Aidilfitri

HERMONO (kanan) meluangkan masa beramah mesra dengan warga Indonesia yang mahu membeli tiket untuk pulang melalui Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut, Johor Bahru, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kedutaan Besar Indonesia menjangkakan seramai 300,000 rakyat negara itu akan memasuki negara ini selepas tamat sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, hal itu kerana jumlah tersebut adalah anggaran warganegara Indonesia yang pulang ke tanah air mereka sepanjang tempoh penutupan sempadan antarabangsa Malaysia, sebelum ini.

Menurut beliau, jumlah itu juga dijangka bertambah mengikut kepada permintaan pasaran pekerjaan Malaysia yang sedang mengalami kekurangan tenaga kerja asing ketika ini.

“Kita anggarkan selepas tempoh perayaan Aidilfitri ini, sekurang-kurangnya 300,000 warga Indonesia akan memasuki Malaysia secara berperingkat bagi mengisi kekosongan pekerjaan ketika ini.

“Sehubungan itu, kita menasihati semua rakyat Indonesia untuk menggunakan saluran yang betul dan bukan berhijrah ke negara ini sebagai PATI (pendatang asing tanpa izin),” katanya kepada pemberita selepas meninjau Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut, di sini hari ini.

Tambahnya, peringatan itu harus diberikan kerana masih ramai pihak yang merisikokan keselamatan diri mereka dengan menaiki bot-bot kecil dan menggunakan laluan tikus untuk ke negara ini.

“Kalau rakyat Indonesia datang ke sini dan menjadi PATI, akan timbul banyak masalah di kemudian hari, selain daripada menjadi persoalan terhadap hubungan antara kedua-dua negara.

“Ini kerana saya yakin Malaysia amat mengalu-alukan tenaga kerja Indonesia tetapi mestilah menggunakan saluran yang betul mengikut undang-undang,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan kesemua penerbangan dan juga perkhidmatan feri dari Malaysia menuju ke Indonesia penuh ketika ini dengan majoritinya pulang bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

“Saya difahamkan semua penerbangan ke Indonesia ketika ini penuh, begitu juga dengan pengangkutan feri, sama ada di Stulang Laut di sini ataupun di Terminal Feri Pasir Gudang. Namun trend ini dijangka akan semakin berkurangan kerana majoriti daripada mereka sudah pulang sebelum ketibaan Ramadan lalu,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN