BUKIT KAYU HITAM: Lebih 10,000 rakyat negara ini terperangkap di Thailand dan menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana pas sempadan mereka telah tamat tempoh.
Keadaan itu berlaku kerana mereka memasuki negara jiran itu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 dan gagal pulang ke tanah air disebabkan pintu sempadan ditutup.
Malah kegagalan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Wilayah Songkhla membantu memperbaharui pas sempadan menyebabkan hasrat mereka untuk pulang ke tanah air terbantut walaupun pintu sempadan telah dibuka Jumaat lalu.
Sementara itu jurucakap konsulat ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pihaknya tidak boleh melanjutkan pas sempadan tamat tempoh dan mereka yang terlibat perlu memohon surat kecemasan bagi mendapatkan kebenaran kerajaan Thailand untuk keluar dari negara itu.
“Bagaimanapun, mereka juga perlu membayar denda sebanyak 20,000 baht Thailand (RM2,600) kepada Imigresen Thailand sebelum dibenarkan keluar dari negara itu,” katanya.
Rakyat Malaysia terlibat dipercayai memasuki Thailand kerana mempunyai keluarga dan berniaga di wilayah-wilayah bersempadan antara Thailand dan Malaysia seperti Satun, Sadao, Songkhla, Yala dan Narathiwat.
Tempoh sah pas sempadan adalah selama setahun dari tarikh dikeluarkan dan tidak boleh dilanjutkan tempoh sah itu melainkan membuat permohonan baharu di Jabatan Imigresen Malaysia dengan bayaran RM10.
Sebahagian besar daripada mereka memasuki negara jiran itu menggunakan pas sempadan yang dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang lahir dan bermastautin melebihi setahun di Kedah, Perlis, Kelantan dan Hulu Perak.
Seorang rakyat Malaysia yang terkandas dikenali sebagai Abd. Rahman, 48, mendakwa, masalah tersebut berlaku apabila pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di wilayah Songkhla tidak memperbaharui pas sempadan rakyat Malaysia tersebut yang tamat tempoh.
Menurutnya, tindakan tersebut menyebabkan kebanyakan rakyat Malaysia yang memasuki negara jiran itu secara sah menggunakan pas sempadan sebelum PKP kecewa apabila mereka kini berstatus pendatang asing di negara tersebut.
“Kebanyakan mereka telah memohon pejabat Konsulat Jeneral Malaysia memperbaharui pas sempadan mereka, namun ditolak oleh wakil pejabat tersebut.
“Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia sepatutnya membantu menyelesaikan masalah yang kami hadapi iaitu mengadakan perbincangan dengan kerajaan Thailand bagi membenarkan mereka pulang semula ke Malaysia selepas pintu sempadan dibuka,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Abdul Razak memberitahu, rakyat Malaysia yang memiliki pas sempadan tamat tempoh dan mahu pulang ke negara ini dikenakan denda RM20,000 baht Thailand (RM2,600) sehingga 40,000 baht Thailand (RM5,000).
Selain itu, tambahnya, nama mereka juga disenarai hitam tidak dibenarkan memasuki negara itu antara tiga hingga lima tahun.
“Kebanyakan rakyat Malaysia terlibat tidak mampu membayar denda yang tinggi itu memandangkan mereka terjejas sumber pendapatan selama berada di Thailand dalam tempoh dua tahun ini.
“Selain itu, mereka tidak sanggup disenarai hitam dan tidak dapat memasuki Thailand dalam tempoh yang lama kerana masing-masing mempunyai keluarga dan perniagaan di negara tersebut,” ujarnya.
Seorang lagi rakyat Malaysia terlibat yang mahu dikenali Alias, 52, berkata, kebanyakan rakyat Malaysia yang terkandas itu tidak mahu mengambil risiko pulang secara tidak sah dengan menggunakan laluan-laluan tikus di kawasan pagar sempadan kerana bimbang ditangkap pihak berkuasa Thailand dan dikenakan hukuman yang lebih berat.
“Pada masa sama, mereka juga bimbang sekiranya ditahan pihak berkuasa Thailand kerana tinggal di negara tersebut tanpa dokumen yang sah,” katanya.
Sehubungan itu, jelasnya, rakyat Malaysia yang terkandas merayu kerajaan Malaysia dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
“Ini kerana, terdapat dalam kalangan rakyat Malaysia itu menghadapi tekanan emosi kerana terlalu lama berpisah dengan keluarga di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










