SEPANG: Seramai 10,000 pengembara dari luar negara dijadual tiba menerusi lapan pintu masuk udara sempena pembukaan sempadan negara, hari ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datu Seri Nancy Shukri berkata, jumlah itu membabitkan ketibaan 110 penerbangan hari ini.
Beliau berkata, jumlah pengembara ini dijangka meningkat dari semasa ke semasa bermula hari ini hingga minggu-minggu seterusnya.
“Kami menyasarkan perolehan berjumlah RM8.6 bilion daripada sektor pelancongan tahun ini yang akan disokong oleh langkah pembukaan sempadan negara ini.
“Sasaran itu diletakkan selepas beberapa negara jiran yang turut membuka pintu sempadan negara masing-masing.
“Kita juga optimis bahawa jumlah itu akan berubah dalam masa terdekat terutama apabila Singapura turut membuka sempadan mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas program sambutan pembukaan sempadan negara, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Terdahulu, Nancy turut meraikan ketibaan 283 penumpang pesawat Etihad Airways EY418 dari Abu Dhabi yang tiba di KLIA jam 10.16 pagi tadi.
Pada majlis sama, Nancy turut beramah mesra bersama pelancong yang tiba selain turut mengagihkan beg cenderahati kepada mereka.
Nancy berkata, selaras pembukaan sempadan negara, Tourism Malaysia juga bersedia untuk memulakan semula kempen pengiklanan global mereka bagi merancakkan semula industri pelancongan negara.
“Kami akan memanfaatkan jenama ‘Malaysia, Truly Asia’ bagi merancakkan kembali sektor pelancongan negara sekali gus memacu pemulihan ekonomi negara.
Berdasarkan jadual penerbangan dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) hari ini, dua terminal di KLIA akan menerima penerbangan, antaranya adalah dari Hong Kong, Incheon, Melbourne, New Delhi, Doha, Istanbul dan London. –UTUSAN ONLINE