PUTRAJAYA: ‘Hanya datang makan sarapan, tiada bincang bubar Parlimen.’
Demikian reaksi ringkas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika ditanya mengenai tujuan pertemuan beberapa menteri UMNO di sebuah hotel di sini semalam.
Katanya, beliau menolak desas-desus mengatakan pertemuan itu berkaitan pembubaran Parlimen bagi memberi ruang kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Tiada (bubar Parlimen), hanya datang makan sarapan pagi sahaja,” kata Naib Presiden UMNO itu kepada Utusan Malaysia, semalam.
Selain Mahdzir, antara yang hadir ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Saddiq.
Selain itu, turut kelihatan ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Annuar ketika didekati media bagi menjelaskan pertemuan itu bagaimanapun berkata: “Mana ada. Datang sarapan sahaja.”
Namun menerusi Twitter Annuar pada sebelah petang, beliau memaklumkan mereka bersarapan sementara menunggu ketibaan Perdana Menteri untuk mesyuarat Kabinet.
Namun, beberapa menteri lain tidak kelihatan hadir bersama antaranya, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba,
Mengikut rekod, seramai 11 menteri termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada UMNO dalam Kabinet.
Sebelum ini, Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berlangsung minggu lalu memutuskan agar Top 5 UMNO diberikan ruang untuk membincangkan cadangan pembubaran Parlimen bagi memberi ruang kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Namun desakan itu semakin kuat apabila kerajaan pimpinan Ismail Sabri gagal meluluskan usul Kementerian Dalam Negeri untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada Rabu lalu.
Hal ini setelah seramai 86 ahli Parlimen ahli Parlimen pembangkang tidak bersetuju melanjutkan usul tersebut, 84 ahli Parlimen Kerajaan bersetuju manakala 50 ahli Parlimen tidak hadir. – UTUSAN










