Tapak rumah untuk generasi kedua peneroka Felda - Utusan Malaysia

Tapak rumah untuk generasi kedua peneroka Felda

Ismail Sabri Yaakob disambut warga Felda Endau pada Majlis Transformasi Perladangan Felda di Mersing, Johor, semalam. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Generasi kedua peneroka Felda akan diberi lot tanah untuk bina sendiri rumah sebagai salah satu usaha kerajaan menyediakan kemudahan perumahan untuk mereka di kawasan tanah rancangan itu.

Konsep baharu itu menggantikan projek pembinaan rumah untuk generasi kedua yang berhadapan masalah apabila anak peneroka gagal mendapatkan pinjaman daripada syarikat kewangan kerana ketiadaan slip gaji terutama yang bekerja sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat permulaan sebanyak 3,200 lot tanah disediakan oleh kerajaan negeri Johor untuk tujuan itu selain peruntukan sebanyak RM60 juta untuk membangunkan infrastruktur di lot tanah tersebut.

Katanya, konsep baharu itu digariskan kerana banyak isu timbul sehingga menjejaskan perancangan Felda untuk memastikan generasi kedua Felda mempunyai rumah sendiri.

“Dulu Felda bina rumah, namun banyak isu yang timbul antaranya rumah siap tetapi tidak mampu dibeli oleh generasi kedua Felda terutamanya yang bekerja sendiri, tiada slip gaji, jadi permohonan mereka dengan bank banyak ditolak.

“Konsep yang baru diperkenalkan tidak lagi menjual sepenuh rumah yang sudah siap, tetapi menjual lot tanah yang dikurniakan kerajaan negeri kepada generasi kedua untuk membina sendiri rumah mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Geran KRT Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor Tahun 2022 di sini semalam.

Inisiatif itu bakal memberi kemudahan kepada 321,160 generasi baharu peneroka Felda di seluruh negara.

Skim tanah rancangan itu diperkenalkan kerajaan pada 1 Julai 1956 di hampir kesemua 222 kawasan Parlimen melalui pembangunan tanah dan penempatan semula penduduk dengan objektif pembasmian kemiskinan.

Sementara itu pada majlis tersebut sebanyak 713 kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri ini diperuntukkan geran berjumlah RM4.27 juta.

Peruntukan itu merupakan sebahagian RM50 juta yang diluluskan kerajaan bagi tujuan memperkukuh dan memperkasakan KRT di seluruh negara.

Sementara itu, Ismail Sabri menyifatkan pelbagai isu berkaitan Felda yang dimainkan pihak lawan dalam kempen Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) hanya bertujuan meraih undi kerana majoriti pengundi di Johor adalah mereka yang tinggal di tanah rancangan tersebut.

“Untuk Kota Tinggi sahaja, kira-kira 80 peratus pengundi adalah dalam kalangan peneroka Felda. Felda ini pengundi Melayu, kebanyakannya setia kepada Barisan Nasional (BN).

“Sebab itu pembangkang cuba tumpu di Felda untuk merosakkan pemikiran peneroka dan generasi kedua Felda dengan sengaja memainkan isu-isu berkaitan Felda,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, beliau percaya masyarakat di Felda tidak terpengaruh dengan dakyah yang dibawa pembangkang kerana mereka ketika ini bertuah dapat merasai harga kelapa sawit yang paling tinggi dalam sejarah.

“Ketika ini harga sawit telah melebihi RM8,000 satu tan yang tak pernah berlaku sebelum ini, jadi tidak ada isu berkaitan pendapatan atau kehidupan sukar.

“Walaupun ramai rakyat yang menghadapi kesukaran selepas Covid-19, isu ini tidak dirasai oleh masyarakat Felda kerana pendapatan mereka tinggi dan saya difahamkan ada sampai RM12,000,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×