Tabung Haji setuju pinda akta

Tabung Haji setuju pinda akta

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) bersetuju dengan cadangan untuk meminda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) dalam isu melibatkan penyelesaian mahkamah syariah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, perkara itu dicapai menerusi pertemuan pihaknya dengan agensi berkenaan bagi membolehkan pendedahan dokumen atau maklumat pendeposit dan pelaksanaan hiwalah oleh mahkamah syariah di Tabung Haji.

Beliau berkata, pindaan akta itu sekali gus membolehkan akaun pendeposit atau penghutang penghakiman disekat bagi tujuan pembayaran tunggakan nafkah terhadap isteri atau anak.

Terdahulu, Mohd. Na’im dan wakil bahagian di JKSM mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin bagi membincangkan berhubung cadangan tersebut, semalam.

BADAN KORPORAT LAIN

Mohd. Na’im yang juga Ketua Hakim Syarie berkata, selain Tabung Haji, pihaknya menyeru semua badan korporat lain yang terkait dengan akaun penghutang penghakiman bertindak sedemikian dan melaksanakan tanggungjawab serupa bagi membolehkan segala dokumen yang diperlukan dapat diberikan kepada mahkamah syariah.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada masa depan untuk menyiasat saham yang dimiliki suami atau bekas suami yang culas.

Beliau berkata, tindakan pe­rintah tahanan hiwalah juga sudah sedia dilaksanakan JKSM dan mahkamah syariah sebelum ini melibatkan akaun simpanan bekas suami atau bapa yang berhutang pembayaran nafkah sebelum diserahkan kepada bekas isteri dan anak-anak.

Sejak tahun lalu, perintah hiwalah yang dikeluarkan mana-mana peringkat mahkamah syariah boleh dilaksanakan oleh institusi kewangan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang berkuat kuasa pada Februari 2021.

Mengikut rekod, sejak 2017 hingga tahun lalu, terdapat 5,116 kes penguatkuasaan perintah termasuk penahanan pendapatan, pembekuan transaksi harta, permohonan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah, hiwalah, permohonan menghina mahkamah dan penyitaan dan penjualan telah difailkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×