PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan melanjutkan tempoh sah sijil penerima vaksin primer Sinovac yang gagal mengambil dos penggalak sebelum 31 Mac ini.
Kehilangan sijil vaksin berikutan keengganan mengambil dos yang akan meningkatkan imunisasi terhadap pandemik Covid-19 itu akan menyebabkan kira-kira dua juta rakyat negara ini hilang pelbagai keistimewaan daripada melawat kemudahan awam dan swasta seperti makan di restoran nasi kandar.
Kerajaan sebelum ini telah memberi lanjutan selama sebulan kepada kira-kira 10 juta vaksin Sinovac untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, kerajaan sudah mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sembilan garis panduan yang akan dikuatkuasakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bermula 1 April ini dalam beralih fasa endemik.
Katanya, SOP tersebut mengandungi 10 keperluan, antaranya menetapkan pematuhan keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu yang ditetapkan penganjur atau pemilik premis.
“Kalau ke masjid, walaupun banyak negeri membenarkan solat berjemaah tanpa penjarakan, keperluan vaksinasi lengkap masih ditetapkan.
“Begitu juga kehadiran individu ke mana-mana premis atau penganjur yang menetapkan syarat sedemikian, individu tidak lengkap vaksin tidak dibenarkan masuk walaupun kita tidak menghalang pergerakan tanpa mengira status vaksinasi,” katanya di sini semalam.
Kerajaan sebelum ini menyediakan satu SOP dan sembilan garis panduan yang dipermudahkan daripada 181 SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN), mengandungi 10 keperluan antaranya memakai pelitup muka, waktu operasi ikut lesen atau permit dan menguruskan kes disyaki mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan.
Selain itu menggunakan MySejahtera dan MySJTrace untuk pendaftaran kemasukan; memastikan penjarakan fizikal 1 meter; memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik; memastikan kebersihan premis dan mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, kira-kira dua juta penerima vaksin Sinovac dikhuatiri terdedah risiko jangkitan Covid-19 lebih teruk jika belum dapat perlindungan tambahan.
Mengikut data Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Institut Kesihatan Negara (NIH), berlaku penurunan imuniti dalam tempoh tiga hingga lima bulan, selepas mendapat dos kedua vaksin Covid-19.
Rodzi berkata, jika status vaksinasi mereka dalam MySejahtera berubah kepada tidak lengkap, jadi tempat-tempat yang menyatakan perlunya lengkap vaksin tidak boleh hadir atau berada bersama dalam program memerlukan vaksinasi lengkap.
“SOP ini kita mempermudahkan supaya kefahaman jelas, kalau tidak jelas maka rujuk 9 garis panduan itu iaitu langkah atau tindakan yang perlu membendung penularan jangkitan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan mahu transisi endemik dengan mengembalikan semula banyak keadaan normal seperti dahulu tidak terlalu rigid.
Beliau turut menjelaskan, bagi pergerakan dan perjalanan pula tidak menghalang mereka yang tidak vaksin lengkap untuk berbuat demikian.
Justeru, katanya, polis tidak boleh menghalang individu untuk memasuki negeri atau daerah tertentu ketika melaksanakan sekatan jalan raya atas alasan tidak lengkap vaksin.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pengusaha restoran nasi kandar tidak akan membenarkan pelanggan yang tidak lengkap vaksin makan di restoran.
Namun beliau merayu kerajaan melanjutkan sebulan lagi kepada penerima vaksin Sinovac melengkapkan dos penggalak.
Bagi Pengarah Restoran Hameediyah Lebuh Campbell, Pulau Pinang, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim, pengusaha nasi kandar perlu akur dengan keputusan tidak membenarkan makan dan minum di restoran sekiranya seseorang tidak mengambil dos penggalak.
“Ketika ini sebelum masuk makan dan minum di restoran pekerja kami memeriksa dahulu status vaksin pelanggan menerusi aplikasi MySejahtera.
“Hanya yang lengkap divaksin dibenarkan makan dan minum di restoran,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, seorang lagi pemilik restoran nasi kandar, Muhammad Azmin Mohamed Maideen, 31, berkata, dia tidak dapat membenarkan pelanggan yang tidak lengkap vaksin untuk makan dan minum di restorannya nanti. – UTUSAN










