Sinovac tidak laku di EU?

Sinovac tidak laku di EU?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 10 juta pe­nerima vaksin Sinovac di negara ini berisiko tinggi di­sekat dari memasuki mana-mana 27 negara anggota Kesatuan Ero­pah (EU) berikutan dikatakan tidak diiktiraf Agensi Perubatan Eropah (EMA) .

Jenama vaksin keluaran firma dari China, Sinovac Biotech itu langsung tiada dalam senarai vaksinasi yang diberikan pentauliahan rasmi oleh EMA.

Ia susulan daripada tindakan pihak berkuasa Jerman mengusir dua warga Malaysia daripada memasuki negara itu kelmarin hanya kerana dos primer mereka ialah Sinovac.

Keadaan tersebut akan me­ng­akibatkan ramai warga Malaysia gagal memasuki beberapa ne­gara EU sama ada bercuti, bela­jar atau bekerja kerana vaksin berkenaan tidak diiktiraf.

Semakan Utusan Malaysia ke beberapa laman web mendapati antara negara-negara yang tidak mengiktiraf vaksin itu termasuk­lah Perancis, Itali, Portugal, Belgium, Greece dan Jerman.

EMA malah setakat ini hanya memperakui lima jenama vaksin Covid-19 iaitu keluaran Pfi­zer BioNTech, Moderna, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan terbaharu ialah Novavax.

Dalam kejadian melibatkan dua adik-beradik warganegara Malaysia itu, mereka dila­yan se­perti penjenayah di terminal lapangan terbang antarabangsa Dusseldorf.

Mereka bahkan tidak dibenar­kan menghubungi Kedutaan Be­sar Malaysia di Berlin atas ala­san konon ditutup hari ming­gu walhal ada talian kecemasan di­­sedia­kan khas bagi rakyat Malaysia.

Ironinya, ramai warga Malaysia termasuk pihak agensi pelancongan tempatan juga langsung tidak sedar mengenai isu ini dan hanya tahu apabila telah ditahan di sana sebelum diusir keluar.

Kementerian Kesihatan menerusi portal CovidNow me­laporkan 31.2 peratus penerima vaksin di negara ini disuntik dos Sinovac iaitu kedua terbesar selepas Comirnaty keluaran firma Pfizer.

Sementara itu, semakan Utusan Malaysia menerusi laman sesawang rasmi Kedutaan Besar Jerman di Kuala Lumpur mendapati vaksin keluaran Sinovac itu memang tiada dalam senarai yang diluluskan.

Sebaliknya, negara Eropah itu hanya menerima gabungan enam jenis vaksin Covid-19 yang diiktiraf sebagai selamat oleh EMA bagi mengekang jangkitan wabak itu di kesemua negara EU.

Jerman sebagaimana keba­nyakan negara Eropah yang lain cuma menerima vaksin jenama Comirnaty, Spike Vax, Vax Evria, Jansson dan Nuvavoxid atas pelbagai faktor keselamatan ketat.

Britain yang bukan lagi menjadi anggota blok Eropah itu, bagaimanapun memperakui Coronavac, termasuk vaksin jenama Sinopharm keluaran China dalam senarai kecemasan.

Insiden yang berlaku itu hampir menyerupai pengalaman dilalui sekumpulan tujuh pelancong Malaysia pada 13 Februari lalu apabila sijil vaksinasi digital MySejahtera ditolak oleh kerajaan Filipina.

Mereka bahkan terkandas seharian di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila dan terpaksa bermalam di lantai terminal ketibaan itu selain nyaris dihalau balik ke Malaysia.

Insiden ini gagal ditangani baik meskipun Kedutaan Besar Malaysia di ibu kota negara itu campur tangan tetapi akhirnya berjaya diselesaikan Wisma Putra melalui pengiktirafan timbal balas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×