GEORGETOWN: Setiap sektor di Pulau Pinang akan membuat persiapan rapi untuk menerima kedatangan pelancong dari luar negara yang dijangka dapat memulihkan sektor tersebut berikutan pembukaan sempadan negara pada 1 April ini.
Dalam masa sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya menyambut baik keputusan pembukaan sempadan negara itu selepas hampir dua tahun ditutup ekoran pandemik Covid-19 yang turut memberi kesan kepada sektor pelancongan di Pulau Pinang.
“Kita akan buat persiapan untuk menerima pelancong, namun, ia tertakluk kepada kesudian pelancong atau pelawat datang ke Malaysia untuk tujuan pelancongan atau perniagaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Malaysia akan membenarkan rakyat dan pelancong asing memasuki negara ini bermula 1 April depan.
Pembukaan sempadan yang menyaksikan negara kerugian lebih RM80 bilion kepada sektor pelancongan diharap dapat membantu merancakkan pertumbuhan beberapa sektor lain yang bergantung kepada wang pelancong asing.
Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, waktu tiga minggu yang ada pada masa ini adalah tempoh penampan dan persediaan untuk semua pihak melakukan persiapan rapi sebelum sempadan dibuka sepenuhnya.
Katanya, setiap agensi perlu bersiap sedia untuk memastikan kelancaran operasi ketika pelawat dari luar negara memasuki negara ini.
“Tarikh ini (1 April) dipilih supaya dapat memberi ruang untuk setiap negeri membuat persiapan masing-masing dari segi prosedur dan sebagainya.
“Kita tidak mahu melihat isu-isu yang berlaku seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut berlaku di sini dan setiap agensi perlu menguruskan setiap isu dengan baik,”katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai status Lorong Perjalanan Bervaksinasi (VTL) antara Pulau Pinang dan Singapura, Kon Yeow berkata, tiada lagi keperluan untuk melaksanakan VTL berkenaan selepas sempadan negara dibuka.
“Bagaimanapun, bagi negara yang masih menganggap VTL sebagai penting, ia masih perlu dilaksanakan secara bilateral.
“Bagi negara yang tidak memerlukan VTL, maka ia tidak perlu dilaksanakan,” katanya. –UTUSAN ONLINE