GEORGETOWN: Parti Gerakan mempersoalkan sejauh mana keikhlasan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam membantu golongan yang memerlukan di negeri itu seperti penarik beca yang berdepan kesukaran mencari rezeki ekoran pandemik Covid-19.
Naib Presidennya, Baljit Singh berkata, pihaknya amat bimbang dengan dakwaan elaun awal RM200 sebulan kepada penarik beca kini telah dipotong separuh dan lebih teruk tidak dibayar tepat pada masanya.

“Persoalan kini timbul adakah terdapat masyarakat di Pulau Pinang yang telah dipinggirkan dengan cara yang sama tetapi menderita dalam diam?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, sekumpulan penarik beca bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Urban Life Volunteer dan Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang mengadakan demontrasi aman kerana mendakwa elaun golongan itu lewat dibayar dan dipotong oleh kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin menafikan mengabaikan penarik beca dan memaklumkan kerajaan negeri telah menggandakan elaun bulanan daripada RM100 kepada RM200, selama enam bulan bermula Jun hingga Disember 2021.
Menurut Baljit, nasib penjaja beca yang pendapatan mereka terjejas teruk akibat wabak Covid-19 bukan sesuatu yang baru berlaku.
“Sudah hampir dua tahun mereka bergelut mencari nafkah dan kos sara hidup yang semakin meningkat memburukkan lagi keadaan.
“Kami melihat situasi di mana orang yang berhati mulia memberikan makanan percuma dan beberapa peruntukan kepada penarik beca ini,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri perlu menghentikan propaganda tentang berapa banyak pelaburan yang telah berjaya dibawa dan diminta fokus membantu rakyat yang memerlukan. –UTUSAN ONLINE