IPOH: Pelanggan sebuah pusat hiburan di sini sanggup mengeluarkan belanja sehingga RM10,000 bagi tempahan bilik yang menawarkan layanan oleh pelayan pelanggan (GRO) warga asing.
Tawaran oleh pusat hiburan terkenal itu bagaimanapun hanya diberikan kepada pelanggan tetap yang membuat tempahan melalui panggilan telefon.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, taktik itu dikesan melalui serbuan pada pukul 11.23 malam di sebuah pusat hiburan di sini kelmarin.
Katanya, bayaran antara RM800 hingga RM10,000 dikenakan mengikut kategori bilik manakala bagi tempahan wanita warga asing pula bayaran yang dikenakan berjumlah RM150 sejam.
“Semasa serbuan dilakukan, wanita warga asing yang bekerja sebagai GRO itu cuba lari dan bersembunyi di bilik rahsia yang dibina khas termasuk di siling dan bumbung bangunan pusat hiburan itu.
“Bagaimanapun, usaha itu gagal dan berjaya dipatahkan pihak berkuasa. Terdapat juga pelanggan melakukan provokasi dengan membuat bising dan menghalang anggota melakukan penggeledahan namun tindakan itu juga gagal,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Perak itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan hampir sebulan.
“Dalam serbuan itu, kita memeriksa 58 orang warga tempatan dan 28 warga asing berusia lingkungan 25 hingga 42 tahun.
“Hasil pemeriksaan, seramai 30 orang ditahan. Kesemua yang ditahan terdiri daripada 15 warga China, sembilan dari Vietnam, tiga orang Bangladesh dan tiga rakyat tempatan,” katanya.
Tambah beliau, mereka yang ditahan dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen Perak untuk tindakan lanjut manakala pelanggan yang diperiksa dalam operasi itu dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.
“Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963” katanya. – UTUSAN