PKRC Zon Wilayah Tengah sudah terima 119 pesakit Covid-19 sejak dibuka semula lima hari lalu. - Utusan Malaysia

PKRC Zon Wilayah Tengah sudah terima 119 pesakit Covid-19 sejak dibuka semula lima hari lalu.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG:  Sejak dibuka lima hari lalu, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Zon Wilayah Tengah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini sudah menerima 119 pesakit Covid-19.

Timbalan Komander, Pusat Kawalan Bersepadu (UCC), Dr. Ridzuan Mohd Isa berkata, setakat hari ini, 90 pesakit berusia 13 hingga 50 tahun ditempatkan di pusat itu membabitkan pesakit kategori 1, 2A dan 2B sahaja.

Beliau berkata, pesakit wanita mendahului jumlah pesakit di pusat itu dengan 53 orang selain 37 orang pesakit lelaki.

“Kesemua pesakit yang diterima di pusat ini adalah daripada Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor yang dirujuk dari Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) sekitar Lembah Klang.

“Kebanyakan pesakit yang dimasukkan ke sini adalah dalam kalangan pesakit kronik dan individu yang tiada tempat sesuai untuk kuarantin.

“Kami juga menetapkan tempoh kuarantin di pusat ini diselaraskan selama tujuh hari sahaja berbanding tiga tempoh berbeza sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar pada sesi taklimat kepada pengamal media, di sini hari ini.

Ditanya samada pusat ini akan dibuka kepada pesakit dari negeri lain kelak, Ridzuan berkata, pihaknya bersedia jika di arahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Namun, katanya, tumpuan utama ketika ini adalah menerima pesakit Covid-19 sekitar Lembah Klang sahaja.

“Kalau diarahkan, kami akan bantu tapi buat masa ini hanya untuk pesakit sekitar Lembah Klang terlebih dahulu,” katanya.

Katanya, buat masa ini, pusat ini beroperasi
pada kapasiti maksimum dengan 850 buah katil selain dibantu 363 petugas termasuk doktor dan jururawat.

Ridzuan berkata, berbanding PKRC 1.0 dan PKRC 2.0 sebelum ini, pusat ini hanya menggunakan satu dewan sahaja selain beberapa fasiliti yang ditambah baik termasuk kemudahan anjung di luar bangunan untuk pesakit beriadah.

PKRC Zon Wilayah Tengah ini mula menerima pesakit pertamanya pada 25 Februari lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini berkata, pembukaan semula PKRC di MAEPS bukan petanda penularan kes berada pada tahap serius di negara ini.

Jelasnya, keputusan itu diambil untuk meringankan beban hospital awam di sekitar Lembah Klang sekali gus berupaya menangani kes-kes selain Covid-19. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN