KOTA BHARU: Seramai 4,200 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di negeri ini menerima sumbangan kelengkapan sekolah, pakaian sukan dan kit kebersihan diri melalui program Petronas Back To School 2022.
Sumbangan itu diserahkan secara simbolik oleh Pengurus Kanan Petronas Pantai Timur, Azeman Said kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan, di sini semalam.
Menurut Azeman, program Petronas Back To School diwujudkan sejak 2003 oleh Yayasan Petronas akan diteruskan dalam meringankan beban golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan peluang pendidikan di negara ini.
“Situasi pandemik dan peningkatan harga barang, menambahkan cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.
“Justeru, kami berharap sumbangan ini dapat meringankan bebanan dihadapi golongan berpendapatan rendah dalam membuat persiapan menghadapi sesi persekolahan 2022,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau lagi, bilangan penerima sumbangan program Petronas Back To School 2022 tidak lagi terhad kepada murid sekolah rendah apabila turut diperluaskan kepada golongan pelajar sekolah menengah rendah.
“Setiap murid menerima sepasang pakaian seragam sekolah, pakaian sukan, kasut sekolah dan stokin, sebuah beg galas, bekas makanan dan botol minuman serta keperluan pembelajaran seperti set alat tulis, set geometri dan buku aktiviti.
“Selain itu, setiap pelajar turut menerima sumbangan kit kebersihan diri seperti dua helai pelitup muka tiga lapisan yang boleh diulang pakai serta dua helai tuala muka,” katanya. –UTUSAN ONLINE