KOTA TINGGI: Peneroka tanah rancangan Felda menganggap penerimaan geran tanah atas nama masing-masing secara berperingkat-peringkat sebagai satu hadiah yang diusahakan oleh Barisan Nasional (BN) sejak dahulu.
Malah, mereka menganggap hak milik terhadap kawasan yang diteroka itu umpama menerima segulung ijazah selepas menempuh jerih perih sejak berpuluh tahun lalu.
Peneroka di Felda Air Tawar 4, Sumiri Rosdi menganggap geran yang diterimanya sebelum ini sebagai hadiah paling bermakna dalam hidupnya dan keluarga.
“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan BN yang memerintah dahulu kerana memulakan langkah pemberian hak milik tanah. Saat menerima surat hak milik itu sudah pasti tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.
“Sebagai peneroka, insya-Allah kami akan cuba menjaga amanat Felda ini dengan baik, tidak menjualnya kerana inilah harta yang boleh diwarisi untuk masa depan anak cucu kami,” katanya ketika ditemui.
Johor merupakan kawasan Felda kedua terbesar di Malaysia dan untuk itu, BN Johor melalui Ikhtiar yang diumumkan turut akan fokus terhadap penyediaan 3,200 lot generasi atau kepada semua peneroka yang memerlukan sebagai usaha memudah cara pembinaan Perumahan Generasi Baharu Felda.
Malah, dalam Ikhtiar itu, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad turut merancang menggiatkan aktiviti ekonomi di Felda dengan memfokuskan kepada pertanian moden, eko-pelancongan dan agro-pelancongan selain meminimumkan penghijrahan belia dengan menyediakan peluang pekerjaan.
Sementara itu, peneroka di Felda Lok Heng Selatan, Mohamad Bakar berkata, selama 30 tahun warga Felda di situ menunggu untuk mendapatkan hak milik mereka sebelum akhirnya menjadi kenyataan.
“Bagi warga Felda, penyerahan geran hak milik merupakan perkara yang dinanti-nantikan dan umpama menerima ijazah buat kami kerana apabila menerima geran itu kami rasa seolah-olah macam merdeka dan tiada apa lagi yang hendak difikirkan,” katanya.
Perasaan sama turut dikongsikan peneroka Felda Air Tawar 3, Sahaman Biran yang mula menjadi peneroka di tanah rancangan itu sejak 1975 sebelum menerima geran tersebut pada 1998.
“Penat lelah kami selama ini meneroka kawasan Felda untuk membangunkan tanaman kelapa sawit berbaloi apabila menerima geran. Kita lihat usaha itu adalah langkah dalam memberi kehidupan yang lebih baik buat peneroka, betapa beruntungnya kami menjadi peneroka Felda,” katanya. – UTUSAN










