PONTIAN: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) belum dapat mendedahkan parti mana yang boleh diadakan kerjasama seandainya mereka kurang majoriti kerana belum mengetahui jumlah kerusi yang akan dimenangi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, masih terlalu awal untuk menyatakan perkara itu, namun berharap akan dapat melepasi majoriti mudah 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentuk kerajaan negeri tanpa kerjasama parti lain.
“Apa yang dimaksudkan oleh Tun Dr. Mahathir (Mohamad) adalah pasca pilihan raya di mana semua parti telah mengetahui jumlah kerusi yang diperolehi sekiranya masih gagal untuk membentuk kerajaan.
“Kami tidak dapat mengumumkan parti mana yang akan menjalinkan kerjasama dengan Pejuang kerana masing-masing mempunyai komitmen dan hala tuju bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya ketika ditemui di Jalan Parit Masjid, di sini.
Kelmarin, Dr. Mahathir berkata, Pejuang sudah mempunyai ‘plan B’ untuk mewujudkan kerjasama dengan parti lain bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu sekiranya parti itu gagal mendapat majoriti mudah untuk mentadbir.
Tambah Mukhriz, pihaknya tidak menolak sebarang kerjasama yang dicadangkan oleh Dr. Mahathir bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak lagi memerintah Johor.
Namun katanya, adalah lebih baik sesebuah parti itu memperolehi majoriti lebih selesa bagi membentuk kerajaan agar dapat mengelak berlakunya lompat parti memandangkan akta berkenaan belum diluluskan oleh Parlimen.
Beliau juga memberitahu, kesemua 42 calon Pejuang telah menduduki ujian psikometrik Rasuah Buster Tag bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Daripada keputusan yang diterima semua calon Pejuang lulus dan ini membuktikan kewibawaan mereka untuk dipilih sebagai calon dalam PRN Johor ini,” ujarnya.
Mengenai kempen-kempen dalam PRN Johor, beliau mengakui kempen kali ini sangat mencabar kerana Pejuang merupakan parti baharu dan kali pertama menyertai pilihan raya di negara ini.
“Itu antara cabaran yang dihadapi Pejuang bagi menonjolkan calon kami yang mempunyai pelbagai latar belakang sama ada yang baharu atau yang telah lama terlibat dengan politik,” jelasnya.
Bagaimanapun ujar Mukhriz, di sesetengah kawasan calon Pejuang menerima sambutan yang memberangsangkan dan mengakui ada juga lokasi yang suram dan memerlukan calon perlu mempunyai strategi dan kreativiti untuk menarik pengundi.
habis
MUKHRIZ Mahathir (tiga kiri) dan calon Pejuang DUN Pulai Sebatang, Abdul Rashid Abd. Hadi (kanan) bergambar bersama orang ramai ketika bersarapan di Jalan Parit Masjid, Pontian di Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI










