[PARLIMEN]: Mata wang kripto belum diiktiraf BNM - Utusan Malaysia

[PARLIMEN]: Mata wang kripto belum diiktiraf BNM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar hari ini membangkitkan mengenai peranan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam memantau dan meregularisasi mata wang serta aset kripto. 

Beliau telah membangkitkan persoalan itu susulan daripada penglibatan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Projek Dunbar yang menghimpunkan Reserve Bank of Australia, Central Bank of Malaysia, Monetary Authority of Singapore dan South African Reserve Bank dengan Bank for International Settlements Innovation Hub untuk menguji penggunaan mata wang digital bank pusat (CBDC) bagi penyelesaian antarabangsa.

“Saya memohon penjelasan daripada Kementerian Kewangan sama ada kerajaan mempunyai perancangan jelas untuk mewujudkan mata wang digital. 

“Ini turut mengambil kira penglibatan BNM dalam Project Dunbar untuk pemindahan wang antarabangsa menggunakan teknologi blockchain,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Bagi menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa telah menjelaskan mata wang kripto (cryptocurrencies) yang juga dikenali sebagai aset digital tidak diiktiraf sebagai mata wang yang sah diperlakukan (legal tender) di Malaysia.

“BNM belum memutuskan untuk mengeluarkan mata wang digital bank pusat (CBDC) dalam masa terdekat kerana di Malaysia sistem pembayaran domestik termasuk Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata (Real-time Retail Payments Platform, RPP) terus beroperasi dengan selamat dan cekap. 

“Mata wang kripto juga bukan merupakan instrumen pembayaran yang dikawal selia oleh BNM. Ini disebabkan keadaan aset digital yang terdedah kepada turun naik harga yang tidak menentu akibat pelaburan spekulatif. 

“Walau bagaimanapun, kita fahami landskap pembayaran dan aset digital yang cepat berubah telah mendorong bank-bank pusat untuk menilai kewajaran mengeluarkan mata wang digital CBDC yang merupakan instrumen pembayaran digital yang dikeluarkan oleh bank pusat dan sedang diteroka dan dikaji oleh pelbagai bank pusat di dunia,” jelasnya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan (MQT). –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya