[PARLIMEN]: 178 dikategorikan ‘projek sakit’ - Utusan Malaysia

[PARLIMEN]: 178 dikategorikan ‘projek sakit’

Mustapha Mohamed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Daripada 6,755 projek pembangunan yang dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri, terdapat 178 yang dikategorikan sebagai projek Sakit.

Dalam jawapan sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed menjelaskan, 92 daripada projek itu sedang dan telah diambil tindakan intervensi atau penyelesaian masalah oleh ICU.

Katanya, sejumlah 41 projek berjaya dipulihkan dan mengikut jadual pelaksanaan projek yang dirancang manakala 51 projek lagi sedang dalam tindakan pemulihan.

“Dalam sistem pemantauan projek oleh ICU, terdapat dua kategori projek yang didefinisikan sebagai projek bermasalah iaitu projek lewat jadual apabila peratus kemajuan sebenar menunjukkan kelewatan sehingga 20 peratus daripada peratus kemajuan jadual.

“Selain itu adalah projek sakit apabila kemajuan kerja fizikal mengalami kelewatan melebihi 20 peratus berbanding jadual dirancang.” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang-Bersatu) mengenai jumlah projek kerajaan yang terbengkalai setakat tahun ini dan projek gajah putih yang terbiar tanpa dibangunkan semula.

Tambah Mustapa, beliau meminta ahli Parlimen yang mempunyai masalah projek terbengkalai atau lambat di kawasan masing-masing mengemukakan masalah itu kepada pihaknya secara bertulis.

“Yang Berhormat lebih tahu mengenai isu projek di kawasan masing-masing, kita memang ada sistem pemantauan, tetapi mungkin sistem ini tidak lengkap, jadi, ahli Parlimen perlu jadi ‘mata dan telinga’ kerajaan supaya kita boleh pastikan setiap projek pembangunan ini berjalan dan disiapkan seperti dirancang

“Selain itu, bagi memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan lancar, saya bersama Ketua Setiausaha Negara mempengerusikan Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara untuk mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan,” katanya.

Sejak penubuhan pada Disember 2020, jawatankuasa itu telah bermesyuarat sebanyak 10 kali dan terakhir adalah pada 31 Januari 2022. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN