LUMUT: Peniaga yang menaikkan harga tepung tidak bersubsidi tanpa mematuhi perundangan pencatutan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, golongan berkenaan boleh didakwa melakukan kesalahan mencatut di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Menurutnya, KPDNHEP sentiasa memantau harga tepung bersubsidi memandangkan ia untuk kegunaan golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata, KPDNHEP tidak memantau harga tepung tidak bersubsidi, namunl, pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya terdapat aduan mengenai kenaikan harga yang mendadak dibuat oleh orang ramai.
“Yang tidak bersubsidi kita tidak pantau, namun, kalau naik mendadak dan tidak berpatutan harganya, kita boleh kenakan tindakan.
“Mereka ini mungkin boleh dikatakan melakukan kesalahan dari segi mencatut, kita ada undang-undang anti pencatutan,” katanya apabila ditanya pemberita mengenai kenaikan harga tepung tidak bersubsidi menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau merasmikan Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Pulau Pangkor hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri.
Alexander menasihati orang ramai agar membuat aduan secara rasmi sekiranya berlaku kenaikkan harga tepung tidak bersubsidi dan serta barangan lain kepada KPDNHEP.
“Kalau ini berlaku seperti mana saya sebut, biarlah ada aduan, secara lebih rasmi dan beritahu di mana tempatnya, apa kesalahannya.
“Berilah secara terus terang dan jangan hanya sekadar di sosial media atau sebut begitu sahaja kerana kalau tidak dapat maklumat kita tak boleh nak siasat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan keluhan pengguna serta peniaga makanan berkenaan kenaikan harga tepung tidak bersubsidi sehingga RM1 sekilogram sejak dua minggu lalu amat membebankan mereka. –UTUSAN ONLINE