IPOH: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bermula semalam tidak sewajarnya menjadi medan untuk ahli parti mendesak sehingga memberi tekanan kepada Perdana Menteri supaya segera mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)
Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, tindakan mendesak dengan teriakan ‘bubar, bubar, bubar (Parlimen)’ terhadap Perdana Menteri semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini tidak sepatutnya berulang.
Menurutnya, lebih baik soal PRU15 dibincangkan dalam keluarga UMNO sendiri dan perkara itu tidak perlu dibawa keluar.
“Perhimpunan Agung UMNO kali ini adalah jalan terbaik untuk suarakan pandangan berkaitan pilihan raya tetapi jangan sampai memberi tekanan kepada Perdana Menteri.
“Secara peribadi, contohnya saya tidak suka seperti yang berlaku di Johor apabila ada yang berteriak kepada Perdana Menteri agar PRU15 diadakan.
“Bagi saya berteriak sampai begitu tidak betul, sepatutnya boleh bincang elok-elok. Apa kelebihan kalau PRU diadakan, jangan desak Perdana Menteri, saya percaya jika Perdana Menteri rasa jika semuanya ‘cantik’, sudah tentu beliau pun mahu PRU diadakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak itu mengakui ahli mahu PRU disegerakan atas banyak faktor terutama selepas dua kemenangan besar BN dalam PRN Melaka dan Johor.
Menurutnya, ramai yang merasakan jika BN sudah kembali diterima rakyat dan rasa boleh menang, mengapa perlu tunggu lagi.
“Walau apa pun, kita akan ikut keputusan majoriti ahli mengenai PRU pada perhimpunan kali ini,” katanya. – UTUSAN










