TELUK INTAN: Selepas lebih 36 jam dilaporkan hilang setelah terjun ke dalam Sungai Perak dari Jambatan Sultan Yusuf di sini semalam, mayat mangsa ditemukan hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, mayat Kek Kai Chung, 42, dijumpai terapung pada jarak 50 meter dari lokasi mangsa dipercayai jatuh dari jambatan.
Katanya, mayat lelaki terbabit dijumpai pasukan penyelamat pada pukul 5.25 petang.
“Operasi pencarian masuk hari kedua itu tertumpu pada jarak dua kilometer dari lokasi kejadian sebelum mangsa dijumpai terapung oleh anggota BBP Teluk Intan dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan.
“Mangsa dibawa naik ke tebing namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Ismail, operasi mencari mangsa dijalankan selepas menerima maklumat kejadian itu pada pukul 11.59 pagi, semalam.
Katanya, operasi pencarian menggunakan enam buah bot milik BBP Teluk Intan, PBS Teluk Intan, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hilir Perak dan polis.
“Seramai 33 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Teluk Intan dan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba terlibat dalam operasi yang turut disertai pasukan polis dan APM,” katanya.
Terdahulu, orang awam memaklumkan, lelaki itu dipercayai terjun ke dalam sungai berikutan penemuan kereta jenis Toyota Avanza tanpa pemandu dalam keadaan enjin dan penghawa dingin masih hidup pada pukul 5.35 pagi.
Pemeriksaan dalam kenderaan tersebut menemukan kad pengenalan dan lesen memandu mangsa di tempat duduk pemandu. – UTUSAN