KPDNHEP bongkar aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Klang - Utusan Malaysia

KPDNHEP bongkar aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Klang

SEBUAH stesen minyak di Klang, Selangor diserbu KPDNHEP dalam kes penyelewengan minyak diesel bersubsidi. - KPDNHEP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penahanan dua pemandu lori tangki minyak dan pekerja membongkar aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi melibatkan sebuah stesen minyak dan premis tidak bernombor di sekitar Klang, dekat sini, baru-baru ini.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, penemuan itu susulan dua serbuan ke atas sebuah stesen minyak yang beralamat di Lot 4520, Kota Bayu Emas, Klang dan di sebuah premis tanpa nombor beralamat di Kampung Baru, Telok Gong Pelabuhan Klang jam 10 pagi, 18 Mac lalu. 

Katanya, seramai 12 orang pegawai dan anggota penguat kuasa menahan dua pemandu lori yang sedang mengisi minyak diesel bersubsidi di dua buah pam berasingan di stesen minyak berkenaan sebelum mendapati mereka gagal mengemukakan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi berurusan secara borong atau runcit barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel.

“Serbuan kedua di sebuah premis tanpa nombor disyaki stor haram penyimpanan minyak diesel dan ketika serbuan, aktiviti pemindahan cecair disyaki minyak diesel daripada sebuah lori ke dalam tiga buah tangki yang ditemukan di dalam kawasan tersebut sedang dilakukan. 

“Pihak premis juga gagal mengemukakan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan atas kesalahan itu, pasukan KPDNHEP menyita keseluruhan sejumlah 40,390 liter cecair disyaki minyak diesel.

“Turut disita dua buah lori, beberapa unit saluran paip getah, tiga buah kompresor, dua buah telefon bimbit, satu set dekoder rakaman litar tertutup  dan invois serta resit jualan dan belian berserta pelbagai dokumen perniagaan melibatkan keseluruhan rampasan berjumlah RM207, 835,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut bermula daripada stesen minyak berkenaan sehinggalah ke stor haram terbabit seterusnya ke peringkat pembeli.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3 juta. 

“Pihak KPDNHEP juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen berkaitan barang kawalan dan kebenaran PDA oleh syarikat yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan.

“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutamanya berkaitan minyak diesel,” katanya. 

Beliau berkata, semua pengusaha atau peniaga dan menegaskan bahawa KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini. 

Katanya, masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi ini bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada rakyat dan negara. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN