‘Kluster mahkamah’ taktik kaburi pengundi – Zahid

‘Kluster mahkamah’ taktik kaburi pengundi – Zahid

Sukarelawan BN memegang sepanduk kempen untuk menarik perhatian orang ramai yang melalui Jalan Kluang sempena PRN Johor di Johor Bahru, semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT RAJA: Kluster mahka­mah adalah taktik politik yang se­ngaja direka pihak tertentu terhadap UMNO kerana mahu mengaburi keyakinan pengundi terhadap corak kepemimpinan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin pengundi Johor matang menilai dakyah ‘istilah’ itu kerana telah melalui keperitan janji-janji palsu kerajaan Pakatan Harapan (PH) selain merasai kegagalan Perikatan Nasional (PN).

Kata beliau, berbanding dua kerajaan yang gagal itu, BN telah mengetengahkan kombinasi nama parti sebagai jenama manakala produk adalah calon bagi memberikan tawaran demi kestabilan dan kemakmuran Johor.

“Apa pun istilah digunakan, ia adalah istilah dicipta mereka sendiri. Ini merupakan taktik politik. Yang kita uar-uarkan adalah branding (jenama) iaitu BN manakala calon-calon parti adalah produk.

“UMNO yakin pengundi Johor sangat matang menolak isu seperti ini kerana mereka mempunyai pengalaman melalui janji-janji palsu di bawah PH dan selepas PN ambil alih pula, kita dapati rakyat Johor berpendapat PN adalah kerajaan yang gagal,” katanya selepas melawat markas jentera BN di sini kelmarin.

Menurut Ahmad Zahid, Hasni sebagai Menteri Besar dalam tempoh singkat telah berjaya melakukan transformasi bukan sahaja menggerakkan sistem kerajaan Johor tetapi aspek penyampaiannya apabila memperlihatkan keberkesanan yang cukup baik untuk rakyat.

Justeru, katanya, rakyat mahu kesinambungan itu terus dilakukan sekali gus BN memutuskan bahawa Hasni adalah poster boy parti.

“Pada waktu sama dengan rasa kekecewaan daripada dua kerajaan lalu, rakyat mahukan kerajaan yang stabil. Kerajaan stabil ini hanya boleh ditawarkan oleh kami.

“Maka trend pengundian bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu, tetapi dalam kalangan orang Cina juga berubah dan begitu juga peratusan pengundi India juga berubah arah kepada kita,” jelas beliau.

Mengulas manifesto BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Ahmad Zahid berkata, sebanyak lima perkara bakal dihidangkan untuk rakyat negeri ini yang bakal menjadi gamer changer (pencetus perubahan) besar.

Beliau yakin jika dilaksanakan akan menjulang nama Johor sebagai negeri yang ulung, bukan sahaja pertumbuhan ekonominya tetapi juga menggamit pelabur luar negara dan domestik.

“Di samping itu, dapat memberi peluang pekerjaan dan juga tidak melupakan tawaran untuk generasi muda di seluruh Johor dengan beberapa skim usahawan serta latihan teknikal dengan kerjasama kerajaan persekutuan,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×