PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka akan memuktamadkan rundingan dengan MySJ Sdn Bhd (MySJ) berhubung isu pemilikan aplikasi MySejahtera dalam tempoh kurang sebulan.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, buat masa ini, rundingan masih berjalan dan ia mengambil masa kerana membabitkan isu-isu teknikal.
Beliau berkata, pihaknya ingin menegaskan bahawa pemilikan data dalam MySejahtera adalah milik KKM dan data itu disimpan dalam pelayan (server) milik kerajaan.
“Saya akan membentangkan isu pemilikan MySejahtera ini di Dewan Negara esok,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Program Pengurusan Berat Badan Bersepadu Kebangsaan di sini, hari ini.
Ketika ini, KKM masih berunding dengan MySJ sebagai pemegang lesen aplikasi MySejahtera, mengenai terma dan syarat penggunaan aplikasi itu.
Perbincangan itu termasuk mengenai langkah ke hadapan pengunaan serta penyelenggaraan aplikasi itu.
Media sebelum ini melaporkan dokumen mahkamah menunjukkan syarikat pembangun MySejahtera (Entomo Malaysia) telah bersetuju untuk memindahkan hak milik intelektual dan lesen perisian aplikasi Covid-19 kepada MySJ untuk RM338.6 juta dalam satu perjanjian sehingga hujung 2025. – UTUSAN