MELAKA: Pembinaan semula Masjid Kampung Belimbing Dalam, Alor Gajah perlu dikekalkan di lokasi asalnya kerana ia bakal membuka segmen pelancongan baharu di Melaka, di samping membantu menjana peluang ekonomi bagi penduduk setempat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad), Khalid Hussin berkata, jika benar dakwaan bahawa Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) merancang mahu memindahkan masjid lama itu ke Bukit Melaka atau nama lamanya Bukit St. Paul di Banda Hilir, tindakan itu dilihat seolah-olah ‘menganaktirikan’ masyarakat Kampung Belimbing Dalam.
Katanya, beliau turut mempersoalkan dasar pelancongan kerajaan negeri yang hanya memberikan tumpuan kepada Banda Hilir, sehingga mengabaikan kawasan-kawasan bersejarah lain termasuk Kampung Duyong selaku lokasi kelahiran Laksamana Hang Tuah.
“Boleh jadikan satu lagi tempat pelancongan kalau dikekalkan di tapak asal. Kita tak mahu sejarah Melaka ini hanya tertumpu di Banda Hilir sahaja. Peniaga di Banda Hilir sahaja yang dapat manfaat.
“Macam saya dekat Duyong, pihak berwajib tidak mempromosikan Kampung Duyong sebagai kampung Hang Tuah. Padahal kami di sini ada galeri sendiri yang mempamerkan pelbagai bahan-bahan menarik. Semua nak sumbat di Banda Hilir, habis tempat lain macam mana?” katanya ketika ditemui.
Terdahulu akhbar ini melaporkan, biarpun Masjid Kampung Belimbing Dalam yang dikatakan telah wujud sejak abad ke-17 sudah ‘menyembah bumi’, penduduk tempatan berharap usaha pembinaan semula dapat dilakukan pihak berwajib di tapak asal, bukannya di lokasi baharu.
Ini kerana masjid lama yang menggunakan batu laterit tersebut menyimpan pelbagai memori, menjadi kebanggaan penduduk sebagai bukti lokasi itu pernah menjadi antara pusat pengembangan syiar Islam terawal di Melaka.
Tinjauan mendapati, terdapat pita berwarna merah dipercayai dipasang Perzim di sekeliling struktur runtuhan masjid, serta papan tanda amaran melarang sebarang bentuk pencerobohan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kajian Perzim untuk menentukan usia, kaedah dan bahan yang digunakan bagi pembinaan semula, Khalid mencadangkan, Masjid Lama Machap boleh dijadikan rujukan kerana seni binanya hampir sama.
Jelasnya, rata-rata masjid yang dibina ketika Kesultanan Melayu Melaka menggunakan batu laterit yang amat kukuh sehingga struktur berkenaan mampu bertahan ratusan tahun, meskipun tiada dipelihara sebaiknya.
“Bentuk masjid itu memang bentuk masjid lama negeri Melaka. Kalau pergi Masjid Lama Machap, dia punya seni bina hampir sama dengan Masjid Kampung Belimbing Dalam. Perzim boleh buat rujukan agar tiada kesalahan ketika pembinaan semula,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE










