PETALING JAYA: Pasukan badminton lelaki negara mengintai permulaan sempurna dalam kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark apabila turun menentang England dalam aksi pembukaan Kumpulan B, hari ini.
Perlawanan pertama itu dilihat sebagai asas penting dalam membina momentum, lebih-lebih lagi sebelum Malaysia berdepan dua lagi cabaran getir menentang Finland dan bekas juara edisi 2014, Jepun.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen berkata, barisan pemain negara kini berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik selepas melalui kem latihan intensif selama seminggu di Herning.
Menurutnya, fokus utama bukan sekadar keputusan semata-mata, sebaliknya memastikan pasukan membuka kempen dengan persembahan meyakinkan yang mampu menyuntik keyakinan keseluruhan skuad.
“Kem latihan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dan apa yang penting sekarang semua pemain sudah benar-benar bersedia untuk memulakan cabaran menentang England.
“Saya tidak mahu terlalu memikirkan keputusan sebelum perlawanan, tetapi keutamaan kami adalah untuk kekal fokus dan memberikan aksi terbaik demi memulakan kempen dengan kemenangan,” katanya.
Malaysia hadir ke kejohanan kali ini dengan misi besar untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 34 tahun selepas kali terakhir menjulang trofi berprestij itu pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.
Skuad wanita negara bagi Piala Uber 2026 akan membuka tirai kempen menentang Turkiye dalam Kumpulan B sebelum berdepan Afrika Selatan dan Jepun.-UTUSAN










