Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia mudahkan rakyat - Utusan Malaysia

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia mudahkan rakyat

Ismail Sabri Yaakob (tengah) melancarkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Johor di Dataran Angsana, Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia memudahkan rakyat di setiap negeri mendapatkan maklumat terus mengenai bantuan dan perancangan yang ditawarkan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, agensi Kerajaan Persekutuan menerusi perkhidmatan kaunter bergerak disediakan pada program jelajah itu bagi membolehkan rakyat mendapatkan sebarang maklumat.

“Menerusi Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, kementerian-kementerian melalui agensi masing-masing disaran melakukan penglibatan seperti menyelesaikan isu-isu yang tertangguh di peringkat negeri sebulan sebelum hari jelajah yang dirancang.

“Hasil atau pencapaiannya kemudian dinyatakan semasa Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang dijadualkan di negeri berkenaan.

“Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia ini sangat penting dalam menguar-uarkan manifestasi dan pelaksanaan usaha berterusan kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat secara turun padang ke seluruh negara,” katanya ketika melancarkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Dataran Angsana Johor Bahru Mall, semalam.

Program jelajah itu diadakan susulan sambutan gemilang acara 100 Hari Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebelum ini dan kini diperluaskan jelajah di peringkat negeri dengan Johor menjadi negeri pertama.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, segala yang dirancang sama ada dari segi bantuan dan skim kepada rakyat pastinya tidak akan berjaya dalam keadaan politik yang tidak stabil.

“Di peringkat Persekutuan, insya-Allah kita bekerjasama dengan semua pihak termasuk pembangkang, maka kita telah berjaya mewujudkan kerajaan yang stabil ketika ini seperti yang dititah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Saya percaya di Johor juga kita memerlukan kerajaan negeri yang stabil supaya setiap perancangan oleh Menteri Besar dapat direalisasikan demi kepentingan Keluarga Malaysia di Johor,” katanya.

Sementara itu Perdana Menteri memberitahu, nilai jualan sebanyak RM186,191 secara keseluruhan berjaya direkodkan pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Johor Bharu yang bermula sejak Khamis lalu.

Katanya, jualan tersebut dihasilkan melalui enam gerai jualan Keluarga Malaysia yang mengambil bahagian bernilai RM49,110.00.

“Bagi segmen Jualan Usahawan yang melibatkan 150 gerai turut merekodkan jualan sebanyak RM130,447.40. Segmen jualan Citarasa Keluarga Malaysia yang membabitkan sembilan gerai mencatatkan jualan sebanyak RM27,811 manakala bagi jualan Food Truck pula mencatat jualan RM22,346.

“Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang julung kali ini turut mencatatkan kejayaan apabila merekodkan pencapaian RM5.26 juta bagi padanan perniagaan melepasi sasaran yang diunjurkan.

“Semoga Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia ini akan memberi nilai tambah baharu yang akan mendasari setiap usaha ke arah meningkatkan sistem penyampaian kerajaan ke arah yang lebih baik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya