fbpx

Jawatan kuasa khas isu tumpahan minyak di Selat Melaka

PARA sukarelawan bertungkus lumus membersihkan Pantai Cermin, Port Dickson yang dicemari tumpahan minyak tidak lama dulu.

PORT DICKSON: Satu jawatan kuasa khas bagi menangani isu tumpahan minyak berpunca daripada kapal-kapal yang melalui Selat Melaka sehingga mencemarkan alam sekitar di negara ini perlu diwujudkan segera.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Dr. Ahmad Ismail berkata, ia mengambil pengajaran insiden tumpahan minyak yang berlaku di Pantai Cermin, Port Dickson dan Tanjung Tuan yang masih belum ditangani sepenuhnya.

Malah tegasnya, kesan pencemaran tersebut masih kelihatan meskipun kejadian telah lebih setahun berlalu.

“Saya harap pihak berkaitan perlu membentuk satu jawatankuasa khas untuk menangani isu ini memandangkan Selat Melaka adalah laluan penting kapal di dunia.

“Penubuhannya bagi melihat isu tumpahan minyak yang boleh memberikan kesan jangka panjang kepada persekitaran pantai khususnya ekosistem hutan bakau.

“Jangan harapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sahaja menyelesaikan masalah tumpahan minyak ini sedangkan banyak agensi lain yang terlibat boleh mengawal dan mengambil tindakan mengenai apa yang berlakui,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, memandangkan Selat Melaka merupakan laluan laut yang paling sibuk di dunia, perlu ada satu struktur organisasi yang sistematik untuk menguruskan kesan tumpahan minyak.

“Oleh itu, sewajarnya ada pihak mempunyai satu struktur organisasi yang mantap bagi menguruskan kes minyak tumpah dan kesihatan ekosistem pantai amnya,” katanya.

Jelas Ahmad, setelah hampir dua tahun kejadian pencemaran di Pantai Cermin dan Tanjung Tuan, agak lewat untuk mencari penyelesaian pemulihan dan perancangan bagi mengelakkan daripada kejadian berulang.

“Aktiviti perkapalan di Selat Melaka semakin meningkat. Ada juga perancangan untuk menambah pelabuhan di Selat Melaka, bukan sahaja untuk kepentingan nasional tetapi antarabangsa.

“Kes minyak tumpah dijangka bertambah dan akan memberi kesan seperti hutan bakau di Tanjung Tuan yang boleh menjadi pengajaran. Walaupun kawasan hutan bakau itu kecil tetapi dapat memberikan pengajaran besar kepada tumpahan minyak ini.

“Hal ini kerana Tanjung Tuan adalah kawasan berkepentingan antarabangsa, hutan simpan, penting dalam pendidikan dan penyelidikan serta mempunyai kepentingan dalam pelancongan, sejarah dan warisan negara,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, walaupun sudah lebih setahun kejadian tumpahan minyak berlaku di Pantai Cermin di Port Dickson dan juga di Tanjung Tuan, kesan kejadian tersebut masih kelihatan terutama di sekitar kawasan paya bakau.

Ahmad berkata, kesan tumpahan minyak masih lagi ada dan ia menunjukkan kejadian tumpahan minyak tersebut begitu memberi kesan kepada alam sekitar dan mengambil masa lama untuk pulih.

Pengarah JAS Melaka, Rosli Osman mengesahkan, kesan tumpahan minyak yang masih terdapat di sekitar kawasan itu merupakan sisa daripada insiden tumpahan minyak yang berlaku pada Oktober 2020 lalu.

Bagaimanapun, JAS Negeri Sembilan pula memaklumkan hanya terdapat kesan habuk kayu bakau yang ditemukan hasil pemerhatian fizikal dilakukan. -UTUSAN ONLINE

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!