Jangan ulangi kesilapan 2018

Jangan ulangi kesilapan 2018

WAN AHMAD WAN OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan semasa perlu bijak memilih masa terbaik untuk membubarkan Parlimen demi mendapat mandat baharu daripada rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, episod kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah akibat kesilapan besar menangguhkan PRU lewat setahun.

Beliau berkata, ketika itu kerajaan BN dinasihatkan supaya ‘memanggil’ PRU-14 pada 2017, tetapi dilewatkan selama satu tahun sehingga Mei 2018.

“Akibatnya, semua tahu, BN jatuh tersungkur dan hilang kuasa selepas lebih enam dekad menerajui negara. Menyesal kemudian tiada gunanya. Fikirlah sedalamnya supaya kesilapan PRU-14 tidak berulang,” katanya di sini semalam.

Wan Ahmad bagaimanapun berpandangan, dua faktor besar perlu ada apabila parti dan kerajaan semasa membuat pertimbangan memanggil sesuatu PRU.

Pertama katanya, parti perlu bersedia, mempunyai semangat tinggi dan wujud ‘feel good factor’ yang kuat di peringkat kepimpinan dan jentera parti di seluruh negara.

Beliau menjelaskan, faktor kedua yang boleh dipertimbangkan sebagai masa terbaik diadakan PRU ialah ketika keadaan dan kedudukan pihak parti-parti lawan berkecamuk dan berpecah, lemah, belum bersedia dan kurang keyakinan.

“Ini terbukti di mana boleh dikatakan semua pemimpin parti lawan sekarang telah bersuara dan menolak diadakan PRU awal. Itu petanda yang mereka belum bersedia, takut dan tidak yakin,” katanya.

Pada masa sama, Wan Ahmad menjelaskan, jika dua faktor tersebut wujud, amat wajar Perdana Menteri selaku ketua kerajaan yang memerintah memberi perhatian serius untuk kerajaan dan partinya mendapat mandat baharu daripada rakyat.

“Rakyat sudah muak dengan pergeseran politik yang tidak berkesudahan. Sudah tiga Perdana Menteri, tiga PRN dan tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK). Beban kepada negara dan rakyat amat berat untuk ditanggung,” katanya.

Ini terbukti di PRN Johor, beliau berkata, rakyat mahukan sebuah kerajaan yang kukuh, teguh dan stabil untuk kelangsungan kehidupan yang lebih baik dan terjamin terutama selepas dilanda pandemik Covid-19.

Atas dasar itu katanya, PRU-15 perlu diselesaikan dalam tahun ini dengan mengetepikan kepentingan politik peribadi dan soal-soal lain yang boleh membawa parti kepada laluan yang lebih sukar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×