KUANTAN: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap perwakilan sebagai medan untuk mengukuhkan penyatuan dalam kalangan ahli parti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd. Farid Mohd. Nor berkata, persidangan kali ini perlu lebih fokus untuk menyelesaikan isu dalaman dan juga perpaduan parti.
“Kurangkan ‘politiking’ sesama sendiri, fokus kepada masalah dan isu-isu membabitkan rakyat.
“Isu perumahan mampu milik misalnya, ia dilihat antara keperluan mendesak ketika ini bagi memastikan rakyat terutamanya anak muda mampu memiliki rumah,” katanya di sini semalam.
Seramai 18 jurucakap meliputi wakil daripada negeri, Wanita, Pemuda, Puteri, siswa akan berbahas pada perhimpunan itu dengan menampilkan jurucakap daripada veteran UMNO dijemput sebagai pembahas buat julung kalinya.
Mengulas lanjut, Mohd. Farid berkata, tumpuan perbahasan PAU kali perlu menyeluruh terutama membabitkan isu-isu rakyat dan tidak boleh hanya terlalu fokus kepada politik.
Tentang Muafakat Nasional (MN), beliau berkata, keputusan berhubung status gabungan itu perlu dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kerana ‘bertepuk sebelah tangan, takkan berbunyi’.
“Begitu juga tentang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), runding dan bincang secara elok-elok,” katanya. – UTUSAN










