Ikut langkah PM martabat bahasa Melayu di pentas antarabangsa  - Utusan Malaysia

Ikut langkah PM martabat bahasa Melayu di pentas antarabangsa 

MOHD. YUSSOF LATIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Semua pemimpin di negara ini disarankan mengikut langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memartabatkan bahasa Melayu di pentas-pentas antarabangsa. 

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, Perdana Menteri  telah membuktikan usahanya untuk memperkasakan bahasa Melayu di rantau Asia apabila menggunakan bahasa Melayu dalam sidang akhbar bersama pemimpin Brunei, Kemboja dan Thailand baru-baru ini. 

Sehubungan itu, Pemenang menggesa semua pihak menyokong usaha Perdana Menteri dan menjadikan beliau sebagai contoh terbaik dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan. 

“Perdana Menteri telah mengambil langkah secara proaktif untuk merealisasikan usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca apabila menggunakannya di hadapan pemimpin dan wartawan asing di luar negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Mohd. Yussof, cita-cita menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca adalah sesuatu yang telah diperkatakan sekian lama tetapi malangnya para pemimpin negara sering menggunakan bahasa Inggeris ketika berurusan di luar negara. 

Jelasnya, usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca adalah tidak mustahil kerana dituturkan oleh ratusan juta orang dari rantau Asian iaitu Indonesia; Brunei; selatan Filipina dan selatan Thailand. 

Tambahnya, Pemenang juga menggesa supaya Ketua Setiausaha Negara mengeluarkan surat pekeliling supaya para Menteri dan pemimpin kerajaan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dalam majlis-majlis bermula hari ini. 

“Begitu juga, kenyatan-kenyataan rasmi hendaklah di keluarkan dalam bahasa Melayu termasuk kenyataan-kenyataan rasmi di media elektronik, media cetak dan media massa,” katanya. 

Selain itu tambah beliau, Pemenang juga menggesa kerajaan mengambil langkah memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi termasuk dalam persidangan Parlimen, Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN). 

“Kita dapati penggunaan bahasa rojak atau bahasa Inggeris masih berlaku dalam kalangan wakil rakyat ketika persidangan Parlimen. 

“Ini adalah tidak wajar kerana tidak menghormati Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang sangat jelas menyatakan bahasa kebangsaa adalah bahasa Melayu,” katanya. 

Mohd Yussof berkata, pihaknya berasa kecewa kerana selepas hampir 65 tahun merdeka, bahasa Melayu seolah-olah bukan bahasa kebangsaanwalaupun pelbagai usaha memartabatkannya masih diadakan sepertibulan bahasa dan dekad bahasa. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN