Gagal patuhi notis JAS, syarikat pengendali tapak pelupusan sampah didenda - Utusan Malaysia

Gagal patuhi notis JAS, syarikat pengendali tapak pelupusan sampah didenda

SYARIKAT pengendali tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang didenda sebanyak RM1,500 hari ini kerana gagal mematuhi notis arahan yang dikeluarkan JAS Pulau Pinang sebelum ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Syarikat pengendali tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal dekat sini didenda sebanyak RM1,500 hari ini kerana gagal mematuhi notis arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang sebelum ini.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, denda tersebut diputuskan oleh Hakim Noor Aini Yusof di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, Butterworth di sini.

Terdahulu, katanya, pengurusan syarikat terbabit, PLB Terang Sdn. Bhd. yang juga merupakan pengendali fasa ketiga tapak pelupusan tersebut mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan atas kesalahan di bawah Seksyen 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kesalahan itu berkaitan kegagalan syarikat berkenaan mengemukakan maklum balas mengikut notis arahan yang dikeluarkan oleh JAS Pulau Pinang bertarikh 25 November 2020.

“Berdasarkan notis arahan yang dikeluarkan itu, PLB Terang diarah mengemukakan beberapa laporan teknikal berkaitan pengurusan biomas, pengurusan risiko gas, pelan kontigensi air larut resap (leachate) serta lain-lain langkah kawalan alam sekitar di lapangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hadir semasa keputusan kes itu dibacakan di mahkamah ialah Pengurus Besar yang mewakili syarikat terbabit bersama peguamnya dari syarikat Yoges & Co..

Difahamkan, jumlah denda maksimum yang diperuntukkan di bawah seksyen berkenaan ialah RM2,000 dan kes itu merupakan satu daripada kes-kes melibatkan syarikat tersebut yang telah difailkan di mahkamah setakat ini. 

Kira-kira 11.3 hektar daripada keseluruhan 16.2 hektar tapak pelupusan sampah Pulau Burung itu sebelum ini terbakar yang mana Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil masa kira-kira 20 hari untuk memadamkan keseluruhan kebakaran tersebut.

Kejadian itu menyebabkan hampir 90 buah keluarga dengan kira-kira 400 penduduk yang tinggal berdekatan kawasan itu terpaksa dipindahkan selain 10 buah sekolah ditutup selama tiga hari. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN