TTES Frontken peneraju kejuruteraan peralatan berputar O&G

TTES Frontken peneraju kejuruteraan peralatan berputar sektor minyak dan gas

MOHD. Shukri Htam (kanan) menunjukkan komponen besi yang dihasilkan di kilang miliknya di Telok Kalong, baru-baru ini. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Bermula dengan hanya menyediakan khidmat nasihat dan rundingan di dalam bidang mekanikal pada 2000, kini syarikat tempatan TTES Frontken Integrated Services Sdn. Bhd., muncul di antara syarikat peneraju kejuruteraan peralatan berputar di dalam sektor minyak dan gas Malaysia.

Pengarah Urusannya, Mohd. Shukri Hitam, 55, berkata, yakin dengan kepakaran mereka, TTES Frontken maju selangkah apabila kemudiannya melibatkan diri dalam bidang penyelenggaraan mesin turbo serta peralatan berputar seperti turbin gas, kompresor, kotak gear dan blower. Selepas lebih 20 tahun di dalam industri, syarikat tersebut kini mampu berbangga apabila kepakaran mereka mula diiktiraf dan terpilih di antara vendor tempatan yang dianugerahkan kontrak penyelenggaraan peralatan berputar oleh Petronas.

“Kami berterimakasih kepada Petronas di atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepada syarikat-syarikat tempatan untuk memajukan diri di dalam industri minyak dan gas samada di dalam ataupun di luar negara,” kata Mohd Shukri. Menurutnya lagi, dengan peluang yang diterima, beliau menjalankan strategi mengembangkan perniagaan berdasarkan konsep bekerjasama, bergabung ataupun pemilikan syarikat-syarikat yang berkebolehan di dalam bidang berkaitan.

Selain terlibat di dalam bidang kejuruteraan berputar, beliau kini melebarkan lagi perkhidmatan syarikat dalam pembuatan komponen-komponen logam sebagai alternatif kepada alat ganti yang diimport dari luar negara melalui pemilikan saham di dalam syarikat tuangan logam, Eastcoast O&G Metalworks Sdn. Bhd.

“Kita mempunyai keupayaan mengendalikan keseluruhan proses tuangan logam selepas kilang di Teluk Kalong, Kemaman di sini beroperasi pada tahun lalu, sekali gus menjadikan TTES Frontken sebagai antara syarikat yang menerajui perkhidmatan tuangan logam di Terengganu. Kita memperuntukkan pelaburan sehingga RM2 juta bagi tuangan besi pada 2021.”

Mohd Shukri juga mula mengembangkan perniagaannya ke Pengerang, Johor melalui pusat operasi dan servis terbaru dan juga anak syarikat pembuat injap terbaru, TTES-VTA Valve Technology Sdn. Bhd. Menurut beliau, pembinaan pusat operasi dan penubuhan syarikat tersebut hasil daripada pemilikan saham ke atas sebuah Syarikat injap dari Australia membabitkan pelaburan bernilai RM8 juta.

Pusat operasi TTES Frontken dan juga kilang pembuatan injap “TTES-VTA Valve Technology Sdn. Bhd. di Pengerang yang beroperasi sepenuhnya pada 2022 dijangkakan mampu melonjak pendapatan kumpulan syarikat sebanyak 25 peratus menjelang akhir 2022 berbanding yang dicapai pada 2021.”

Menurut Mohd. Shukri, selain daripada Eastcoast O&G Metalworks dan TTES-VTA Valve Technology, operasi syarikat meliputi seluruh Malaysia menerusi satu lagi subsidiari miliknya iaitu Tenagatech (M) Sdn. Bhd yang menawarkan perkhidmatan servis peralatan elektrik khusus untuk industri minyak dan gas.

Selain daripada operasi syarikat yang berpengkalan di Kerteh, beliau mempunyai kemudahan bengkel serta Gudang yang beroperasi di Terengganu, Johor, Selangor dan Melaka.

“Pada 2022, kita berhasrat mengembangkan lagi pelaburan dengan mengenalpasti rakan strategik di samping memperbanyakkan lagi bentuk kerjasama termasuk dengan pelanggan baharu mahu pun sedia ada,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya