ALOR SETAR: Pembukaan sempadan negara pada 1 April ini tidak dinafikan membawa sinar baharu sektor pelancongan Langkawi apabila banyak hotel dan resort mula menerima tempahan dari luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, sejumlah 2,541 tempahan diterima daripada pelancong luar negara dengan yang tertinggi adalah pada Ogos.
“Ini adalah tempahan hotel dan resort di bawah LTA yang dilihat semakin menunjukkan perkembangan. Kita lihat tempahan pada April hanya 73 bilik setakat ini, namun, meningkat kepada 600 tempahan bagi Mei, 500 (Jun) dan Ogos (1,368).
“Tempahan melibatkan pelancong dari Asia Barat dan kebanyakannya melibat resort dan hotel yang eksklusif seperti vila yang mempunyai kolam persendirian. Tempahan untuk itu meningkat sehingga 200 peratus. Ini mungkin kerana pelancong masih ingin mengambil sikap berjaga-jaga daripada penularan Covid-19,” katanya di sini hari ini.
Susulan pembukaan sempadan itu juga, katanya, penerbangan ke pulau tersebut juga meningkat kepada 31 penerbangan sehari termasuk secara terus.
“Saya mendapat maklumat banyak syarikat penerbangan yang akan membuat penerbangan terus seperti dari Indonesia terus ke Langkawi bagi memenuhi permintaan pelancong dari negara itu.
“Kita percaya banyak yang belum mengetahui tentang pembukaan sempadan negara pada April dan kita berharap kementerian mengadakan promosi yang lebih hebat seperti dilakukan oleh Indonesia untuk Bali,” katanya.
Tambahnya, secara keseluruhan sehingga 31 Disember, Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik dan Antarabangsa Langkawi mencatatkan lebih 720,000 pelancong dengan pendapatan lebih RM750 juta sejak pelaksanaannya pada 16 September untuk domestik serta 15 November (antarabangsa).
“Kita dimaklumkan pendapatan bagi Januari sehingga Mac pula sekitar RM48 juta sahaja apabila kedatangan pelancong semakin menurun terutama dalam kalangan domestik kerana masing-masing sudah boleh melancong ke luar negara.
“Kita percaya keadaan akan menjadi lebih baik selepas sempadan dibuka kelak. Selain pelancong dari Asia Barat, pelancong dari Britain dan Australia dijangka banyak mengunjungi Langkawi,” katanya.
Menyentuh tentang kos operasi dan kadar hotel katanya, ia dijangka berlaku peningkatan sehingga 20 peratus untuk memastikan penyelenggaraan premis pada tahap terbaik terutama melibatkan prosedur operasi standard (SOP).
“Penggiat pelancongan akur walaupun ketika negara sudah memasuki era endemik namun SOP masih perlu dipertingkatkan apatah lagi ini melibatkan pelancong dari luar negara kerana ketika ini masih berlaku penularan termasuk daripada varian baharu.
“Namun, LTA memberi jaminan peningkatan kadar hotel dan resort adalah pada 20 peratus sahaja ekoran peningkatan kos operasi. Pengusaha hotel dan resort kini terpaksa menyediakan hostel dan pengangkutan kepada pekerja mereka sebagai salah satu SOP untuk elak jangkitan. Kos ini ditanggung oleh mereka sendiri,” katanya. –UTUSAN ONLINE