Boleh dipenjara jika buli siber komen malukan orang lain - Utusan Malaysia

Boleh dipenjara jika buli siber komen malukan orang lain

Polis menafikan mesej taktik penipuan baharu ‘Sim Swap’. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hati-hati menggunakan media sosial untuk menulis komen kesat, berkongsi dan menyebarkan maklumat dengan niat mengaibkan orang lain kerana perbuatan buli siber itu boleh membawa pelakunya dipenjara sehingga setahun atau denda hingga RM50,000.

Perbuatan tersebut merupakan satu jenayah buli siber dan mangsa boleh melaporkan kepada pihak berkuasa dan jika dibuktikan bersalah, pembuli boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian).

Seksyen 233 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia (CSM), Datuk Amirudin Abdul Wahab berkata, sebanyak 2,190 kes buli siber dikesan Cyber Security Malaysia (CSM) dalam tempoh lima tahun ini.

Beliau berkata, buli siber berlaku apabila pembuli melakukan perbuatan berulang yang dilakukan dengan tujuan menakutkan, mendatangkan kemarahan dan memalukan seseorang melalui e-mel, laman media sosial, telefon bimbit dan mana-mana platform Internet.

“Jika jenayah itu masih berlaku, mangsa dinasihatkan tidak mengendahkan mesej yang dihantar pembuli sebagai bahan bukti dan melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Walaupun ketika ini masih belum terdapat undang-undang atau akta khusus mengenai buli siber, usaha ke arah penggubalan undang-undang sedang dilaksanakan bagi menangani masalah yang kian meruncing ini.

“Dengan adanya undang-undang khusus itu, proses pendakwaan berkaitan buli siber tidak lagi perlu berpandukan akta-akta lain, seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian),” katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Menurut Amirudin, sejak 2017 hingga tahun lalu, sebanyak 2,190 laporan buli dikesan melibatkan 571 kes pada 2017; 356 kes (2018); 260 kes (2019) , 596 kes (2020) dan 417 kes pada tahun lalu.

Selain itu, ujarnya, pembuli siber berpendapat mereka bebas sepenuhnya untuk menulis dan berkongsi apa sahaja di ruang media sosial walhal memberi impak besar kepada masyarakat jika tidak dibendung.

“Perbuatan ini boleh mengakibatkan berlakunya insiden siber lain seperti kecurian identiti, akaun palsu, penyebaran berita palsu dan fitnah, ‘phishing’ dan lain-lain lagi.

“Kesan besar buli siber ini apabila membabitkan emosi, fizikal dan mental mangsa sehingga boleh mengalami depresi, kemurungan dan melakukan perbuatan yang mencederakan diri.

“Paling membimbangkan, jika tidak dibendung akan mengakibatkan bunuh diri,” katanya.

Amiruddin berkata, ramai dalam kalangan mangsa berdiam diri dan menyembunyikan jika mereka berhadapan situasi buli siber.

“Mereka perlu berkongsi masalah dengan orang terdekat dan jangan sesekali membalas mesej atau e-mel daripada pembuli siber.

“Pengguna Internet juga diingatkan untuk tidak memuat naik sesuatu yang boleh mengaibkan diri sehingga menjadi bahan untuk si pembuli untuk memfitnah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN