SEPANG: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) menyasarkan 10,000 buah masjid dan surau di negara ini bakal dapat menubuhkan koperasi kariah yang dilihat berpotensi besar dalam menggerakkan aktiviti masyarakat setempat.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat ini, hanya 462 buah koperasi kariah masjid telah didaftarkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan keahlian 38,000 anggota dan jumlah aset yang melebihi RM29 juta.
“Bilangan ini sebenarnya masih kecil lagi kerana di seluruh negara, kita ada 6,514 buah masjid dan 18,279 buah surau yang direkodkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri penutup Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan 2022 di Hotel Movenpick KLIA, di sini hari ini yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Justeru, ujarnya, bagi mencapai matlamat tersebut, Angkasa menetapkan sasaran minimum 10 peratus daripada jumlah keseluruhan premis itu setiap tahun menubuhkan koperasi kariah.
Malah, bagi merancakkan pembangunan koperasi berkenaan, Angkasa pada akhir tahun lalu telah menubuhkan jawatankuasa teknikal meliputi pelbagai agensi sebagai pemudah cara, termasuk penglibatan Jakim dan kementerian berkaitan serta pihak berkuasa agama tempatan membabitkan majlis dan jabatan agama Islam peringkat negeri.
Abdul Fattah bagaimanapun mendedahkan bahawa pelbagai program kesedaran mengenai penubuhan koperasi kariah masjid sebenarnya sudah dilaksanakan oleh Angkasa sejak 2011, bahkan, pihak beliau membelanjakan hampir RM1.1 juta bagi aktiviti kesedaran dan pencerahan mengenai kebaikan koperasi kariah dalam membangunkan ummah setempat.
“Bayangkan sejumlah 13,000 peserta yang kesemuanya ialah ahli jawatankuasa masjid sudah sertai siri program dilakukan Angkasa dan melibatkan hampir 4,000 buah masjid,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE