Amah tidak boleh kurang RM10,000

Amah tidak boleh kurang RM10,000

Sukumaran Nair
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Agensi-agensi pe­­ker­jaan swasta di Indonesia me­netapkan kos pe­ngambilan pembantu rumah dari negara itu tidak boleh kurang daripada RM10,000.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Pertu­buhan Kebangsaan Agensi Per­khidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. Sukumaran Nair berkata, agensi dari republik itu mendakwa har­­ga yang rendah tidak masuk akal kera­na tidak selari dengan pasaran te­naga kerja masa kini.

Katanya, jika kos yang dituntut oleh mereka itu tidak dipersetujui, besar kemungki­nan usaha menandatangani me­­­­morandum persefahaman (MoU) membabit­kan kemasukan pe­khidmat domestik Indonesia (PDI) antara Malaysia dan Indonesia yang dijadualkan pada 1 April ini akan gagal.

“Apatah lagi keperluan-keperluan tambahan yang perlu disediakan bagi memenuhi tuntutan prosedur operasi standard (SOP) pengambilan pekerja asing.

“Perkara melibatkan kos ini memerlukan satu keputusan yang memberikan situasi menang-menang antara kedua-dua pihak. Di pihak Indonesia mereka menetapkan kos perbelanjaan tidak kurang RM10,000 sebelum dicampur jumlah komisen antara agensi dua negara di samping kos-kos lain seperti levi, perubatan dan kuarantin.

“Jadi semua sekali tidak lebih RM15,000 sepertimana yang diberitahu Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono dalam pertemuan dengan empat persatuan agensi pekerjaan swasta baru-baru ini.,” katanya di sini, semalam.

Perkara itu dimaklumkan wakil mereka yang bernaung di bawah dua persatuan agensi pekerjaan swasta di Indonesia iaitu Persatuan Perusahaan Jasa Tenaga Kerja Indonesia (APJATI) dan Persatuan Perusahaan Penempatan Pekerja Migran Indonesia (Aspataki).

Dalam Dewan Rakyat 23 Mac lalu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim memberitahu, kos pengambilan pekerja domestik Indonesia ditetapkan RM7,800 seperti yang dimuktamadkan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia.

Bagaimanapun, kelmarin, beliau membetulkan semula penetapan kos adalah menerusi MoU yang melibatkan pihak Indonesia berdasarkan Kumpulan Kerja Bersama Ke-9 pada September 2013 yang telah tamat pada 2016.

Dalam pada itu, Sukumaran berkata, Malaysia belum menge­tahui jumlah PDI boleh disalurkan ke negara ini, namun difahamkan mereka mempunyai ribuan tenaga kerja yang terlatih khusus dalam sektor amah.

Bagaimanapun, beliau ber­kata, jumlah permintaan majikan di negara ini adalah sekitar 150,000 amah sebagaimana dalam data agensi pekerjaan swasta dan pihaknya mengakui jumlah itu tidak mampu disalurkan dari Indonesia semata-mata.

Apatah lagi, katanya, banyak lagi negara lain seperti Singapura dan Arab Saudi menawarkan harga lebih tinggi kepada Indonesia bagi mendapatkan khidmat amah.

“Majikan di Malaysia memang menunggu apakah harga kos ditetapkan kerajaan. Jika ikutkan, agensi-agensi di Indonesia akan meminta harga tidak kurang RM10,000.

Sebenarnya peratusan harga kos ini adalah lebih banyak diambil oleh agensi-agensi di Indonesia dan bukannya di Malaysia.

“Sehubungan itu, sudah tiba masanya kerajaan tidak terlalu bergantung dengan satu negara sahaja iaitu Indonesia, sebalik­nya membuka sektor ini kepada negara sumber lain yang bersedia menyalurkan tenaga kerja mereka selain kos jauh lebih murah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×