TUMPAT: Lebih 200 penduduk di Kampung Bendang Pak Yong di sini mengambil langkah berjaga-jaga. Ini berikutan kawasan kediaman mereka sudah dinaiki air hampir satu meter.
Air dikatakan naik selepas limpahan dari Sungai Golok berhampiran berikutan hujan sejak semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penghulu Kampung Bendang Pak Yong, Mohd. Azmi Ibrahim berkata, kawasan kampung di Tumpat itu mula dinaiki air pagi ini selepas hujan tidak berhenti sejak semalam hingga tengah hari ini.
“Saya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kubor Wan Roslan Wan Hamat dan Adun Kelaboran Mohd. Adanan Hassan meninjau kawasan sekitar petang tadi.
“Setakat ini, air belum lagi memasuki ke dalam rumah kecuali hanya bahagian dapur sahaja.
“Jika air semakin melimpah, arahan berpindah akan dilakukan segera,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut Mohd.Azmi berkata, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga masih belum dibuka dan pihaknya sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Katanya, berhubung kejadian itu, difahamkan dua keluarga di Kampung Simpangan di sini dipindahkan ke sebuah masjid berdekatan, selepas rumah mereka dimasuki air. –UTUSAN