Tanda diabetes pada kanak-kanak

Tanda diabetes pada kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Fenomena diabetes bukan lagi penyakit orang dewasa.

Kini, kanak-kanak juga menunjukkan tanda rintangan insulin, iaitu peringkat awal ketidakseimbangan gula dalam darah.

Pakar perubatan dalaman dan perunding endokrinologi dan diabetis Ampang Puteri Specialist Hospital, Dr. Chooi Kheng Chiew berkata, diabetes kini boleh bermula sejak kecil,.

Ini bermakna pankreas sudah bekerja keras walaupun tubuh masih kecil.

Antara faktor utama perkara itu berlaku disebabkan perubahan gaya hidup kanak-kanak yang ketara.

Minuman manis dan makanan berproses mudah didapati di rumah, kantin sekolah dan kedai serbaneka sekali gus menyebabkan gula darah naik mendadak.

Masa yang terlalu panjang di depan skrin pula mengurangkan aktiviti fizikal dan melambatkan metabolisme.

“Corak makan tidak teratur dan kebergantungan kepada makanan segera akibat jadual keluarga yang sibuk turut mengganggu ritma metabolik tubuh.

“Kesan-kesan ini mungkin tidak kelihatan pada awalnya, tetapi ia terkumpul dari tahun ke tahun sehingga tubuh mula gagal mengawal paras gula dengan baik,” katanya.

Beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak kes diabetes melibatkan kanak-kanak dan keadaan ini mungkin jauh lebih serius daripada angka rasmi yang dipaparkan.

Menurut Laporan Pendaftaran Diabetes Kebangsaan 2023, sebanyak 289 individu bawah 18 tahun hidup dengan diabetes.

Walaupun angka ini kecil, ia tetap signifikan kerana pangkalan data tersebut menumpukan pesakit dewasa dengan diabetes jenis 2.

Kes pediatrik, terutama diabetes jenis 1, biasanya tidak dimasukkan dalam rekod dewasa.

Malah, Institut Jantung Negara (IJN) melaporkan antara pesakit termuda yang dirawat ialah kanak-kanak berusia lapan tahun.

 

KAWAL GAYA HIDUP
Zaman kanak-kanak adalah tempoh penting bagi tubuh untuk belajar mengawal insulin, mengurus rasa lapar dan membentuk tabiat makan jangka panjang.

Pemerhatian klinikal menunjukkan tabiat makan sebelum umur sepuluh tahun memberi pengaruh kuat terhadap risiko diabetes dewasa, terutaman jika pengambilan minuman manis dilakukan secara kerap.

“Obesiti kanak kanak kini merupakan peramal paling kuat kepada diabetes jenis 2 pada usia remaja atau dewasa muda.

“Kekerapan mengambil snek dan melangkau waktu makan utama menyebabkan tubuh gagal mengekalkan ritma metabolik normal, lalu menjejaskan keberkesanan insulin. Gaya hidup awal inilah yang menjadi pelan asas metabolik seseorang sepanjang hidupnya,” katanya.

 

TANDA AMARAN
Walaupun diabetes jenis 2 pada kanak-kanak jarang berlaku, tanda awalnya selalunya halus dan boleh terlepas pandang.

Keletihan luar biasa, kerap dahaga atau kencing, berat badan turun tanpa sebab, luka lambat sembuh serta tompokan gelap di leher atau ketiak boleh menjadi petanda rintangan insulin.

Jika tanda-tanda ini muncul, pemeriksaan awal amat penting bagi mencegah komplikasi jangka panjang.

Menurut Kheng Chiew, pencegahan diabetes berlaku mengikut fasa usia.

Pada zaman kanak-kanak, asas perlu dibina melalui pemakanan sihat, aktiviti fizikal dan corak hidup seimbang.

Pada usia dewasa, pencegahan melibatkan saringan berkala, rawatan awal dan gaya hidup aktif.

Manakala pada usia emas, penjagaan kesihatan sistematik amat penting untuk mengelakkan komplikasi.

Katanya, ibu bapa memainkan peranan terbesar dalam membentuk hubungan anak dengan makanan dan aktiviti fizikal.

Pengaruh ini bukan melalui kawalan ketat tetapi melalui contoh harian yang konsisten.

Pilihan kecil setiap hari seperti menekankan minuman sihat, menyediakan makanan sebenar seperti buah, sayuran, protein tanpa lemak dan bijirin penuh, makan bersama keluarga, menggalakkan aktiviti fizikal serta mengehadkan masa skrin secara tidak langsung membentuk gaya hidup yang akan dibawa hingga dewasa.

“Kanak kanak meniru apa yang mereka lihat, apabila gaya hidup sihat menjadi perkara biasa di rumah, ia akan kekal hingga remaja dan dewasa,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN