ARAU: Sebanyak 98.3 peratus graduan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berjaya mendapatkan pekerjaan sama dalam sektor awam, swasta dan menjalankan perniagaan sendiri.
Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, selain itu, ada dalam kalangan pelajar yang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi atau meningkatkan kemahiran.
Seterusnya, Zaliman mempersembahkan ucapan menjunjung kasih kepada Canselor Unimap, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Pro Canselor, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang sering mengambil berat mengenai kebajikan dan perkembangan mahasiswa universiti itu.
Dalam pada itu, Istiadat Konvokesyen Unimap Ke-15 yang berlangsung di Dewan Ilmu, Kampus Alam Unimap Pauh Putra di sini selama empat hari melabuhkan tirainya semalam.
Sidang ke-8 dan terakhir itu, disempurnakan Tuanku Lailatul Shahreen yang menyampaikan penganugerahan kepada 281 graduan.
Tambah Zaliman lagi, sebanyak lapan sidang dalam istiadat konvokesyen tersebut membabitkan 2,763 graduan termasuk 107 siswazah antarabangsa.
“Dalam sidang pertama, selain penerima Ijazah Kehormat, Unimap turut menganugerahkan empat anugerah khas iaitu Anugerah Pelajaran Diraja, Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Naib Canselor dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Program Siswazah.
“Turut diberi penghormatan ialah 60 siswazah Ijazah Doktor Falsafah dan 117 orang siswazah Ijazah Sarjana yang mana 42 dari mereka adalah pelajar antarabangsa.
“Mereka semua menerima skrol masing-masing daripada Tuanku Syed Faizuddin pada sidang yang pertama. Jumlah keseluruhan siswazah peringkat pasca siswazah yang dilahirkan semenjak istiadat konvokesyen kali pertama adalah seramai 1,777 orang,” katanya. –UTUSAN ONLINE










