KUBANG PASU: Seramai 903 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Kedah tidak dapat mengambil peperiksaan tersebut bermula hari ini setelah mereka diarahkan untuk menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Rozaini Ahmad, sebahagian daripada individu terlibat merupakan mereka yang disahkan menghidap Covid-19 manakala sebahagian lagi berstatus kontak rapat.
“Difahamkan kesemua mereka menjalani kuarantin di rumah dan dijangka mengambil peperiksaan ini pada April depan.
“Itu merupakan garis panduan yang perlu kita patuhi seperti ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pauh, Jitra di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Penilaian dan Peperiksaan Kedah, Turin Ahmad serta Pegawai Pendidikan Daerah Kubang Pasu, Mahadhir Ismail.
Sementara itu, katanya, secara keseluruhannya terdapat seramai 29,769 calon SPM 2021 di Kedah dengan 25,898 daripadanya merupakan calon dari sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK).
“Daripada jumlah iu, seramai 33 individu merupakan calon berkeperluan khas terdiri daripada mereka yang mengalami masalah pembelajaran, kurang upaya pendengaran, kurang upaya fizikal, kurang upaya penglihatan.
“Selain itu, terdapat dua calon yang terpaksa mengambil peperiksaan di Hospital Kuala Nerang dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani kerana mengalami demam campak serta apendiks,” katanya.
Tambahnya, SMK Aman Jaya di Sungai Petani mempunyai calon teramai di negeri ini iaitu 480 orang manakala Kolej Vokasional Sungai Petani 2 dan Sekolah Menengah Akademi Islam Darul Aman di Kota Kuala Muda mencatatkan jumlah calon paling sedikit dengan kedua-duanya hanya memiliki 14 calon menduduki peperiksaan tersebut. –UTUSAN ONLINE