Kapal pertama Flotila Global Sumud belayar ke Gaza dari Tunisia dan Sicily

Kapal pertama Flotila Global Sumud belayar ke Gaza dari Tunisia dan Sicily

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUNIS: Kapal-kapal pertama Flotila Global Sumud berlepas dari Pelabuhan Bizerte di Tunisia dan Pelabuhan Augusta di Sicily menuju ke Semenanjung Gaza yang dikepung Israel, menurut penganjur.

Video yang dikongsi penganjur menunjukkan sebuah kapal bantuan berlayar dari Tunisia menuju ke wilayah Palestin itu.

Aktivis dan wartawan, termasuk seorang koresponden Anadolu merakam detik pelayaran kapal pertama tersebut.

Sementara itu, satu kumpulan terdiri daripada 18 bot dari armada Itali flotila turut berlayar pada Sabtu dari Pelabuhan Augusta, Sicily selepas seminggu persiapan.

“Mereka akan bergabung dengan kapal-kapal yang berlepas dari Tunis hari ini dan esok, termasuk yang sebelum ini bertolak dari Barcelona untuk bertemu di laut minggu depan.

“Dunia sedang bangkit. Kami akan terus mencabar sekatan haram Israel ke atas Gaza dan tidak akan berhenti menggerakkan solidariti sehingga Palestin merdeka,” kata penganjur dalam satu kenyataan.

Beberapa ahli politik turut berada di atas kapal, termasuk ahli Parlimen parti pembangkang utama Itali, Arturo Scotto dan Ahli Parlimen Eropah, Annalisa Corrado.

Sekumpulan lagi kapal dijadualkan berlepas dari Tunisia dan Greece pada Ahad menuju ke Gaza, di mana mereka akan bertemu di perairan antarabangsa dan belayar bersama dalam misi maritim terbesar menuju Gaza.

Flotila menuju Gaza itu merangkumi hampir 50 kapal, membawa antara 500 hingga 700 aktivis termasuk artis, ahli Parlimen dan tokoh politik terkenal dari lebih 45 negara.

Konvoi ini adalah yang terbesar setakat ini, berbeza dengan percubaan terdahulu yang hanya melibatkan sebuah kapal yang kemudiannya dipintas Israel di laut.

Menurut penganjur, matlamat misi ini adalah untuk mencabar sekatan Israel dan membuka laluan kemanusiaan bagi menghantar bantuan kepada penduduk Palestin di Gaza, yang kini berdepan keadaan kebuluran akibat sekatan bantuan selama berbulan-bulan oleh Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN