CYBERJAYA: Sebanyak 73,780 atau 36 peratus daripada 204,946 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setakat ini didapati tidak berpencen.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, mereka yang tiada pendapatan diseru agar menceburi bidang keusahawan sebagai punca rezeki setelah tamat perkhidmatan lebih awal.
“Saya minta JHEV (Jabatan Hal Ehwal Veteran) untuk jadi pemudah cara untuk bimbing mereka yang ada minat berniaga sehingga dapat membuka bisnes sendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan julung kali Ekspo Usahawan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia di gedung Malakat Mall di sini hari ini.
Tidak seperti pesara awam yang lain, veteran ATM bersara lebih awal dalam usia 40-an, malahan rekod semasa JHEV menunjukkan 63 peratus daripada mereka berumur bawah 60 tahun.
Mengulas lebih lanjut, Affendi berkata, dalam tempoh usia yang dianggap masih lagi produktif, veteran ATM ialah aset negara yang berupaya menyumbang kepada kemakmuran ekonomi.
“Saya agak terkejut kerana kajian firma Ernst & Young pada 2021 mendapati 85 peratus veteran ini dari kelompok berpangkat rendah dengan pencen kurang RM2,500 sebulan,” katanya.
Sehubungan itu ujarnya, demi memastikan kelangsungan hidup mereka terutama di bandar besar, beliau mendedahkan kesukaran veteran tersebut perlu berusaha keras bagi mencari kerja.
Apatah lagi, secara purata jelas beliau lagi, kadar pencen diterima mereka itu hanyalah RM1,800 setiap bulan iaitu masih di bawah had pendapatan garis kemiskinan nasional iaitu RM2,208.
Oleh itu, beliau melihat potensi besar bidang keusahawanan di negara ini yang agak kurang diteroka terutama ramai veteran ATM bagi menyambung kehidupan selepas tamat perkhidmatan.
Bagaimanapun untuk permulaan tambahnya, mereka itu perlu dibantu termasuklah menerusi siri kursus intensif dan latihan sambil kerja sebagai bentuk pendedahan awal sebelum bersara.
“Sebelum ini pun, ada JHEV buat pelbagai program tetapi mungkin kurang sistematik dan saya berharap aktiviti sebegini diperbanyakkan bagi buka minda prospek keusahawanan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelbagai agensi awam khususnya Tekun dan Teraju yang bekerjasama erat memberi tunjuk ajar dan maklumat peluang kerjaya dalam bisnes.
Tidak ketinggalan ialah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta badan swasta seperti Code7 dan Lotus yang menawarkan peluang pekerjaan kepada veteran ATM yang berminat.
Pada masa sama, Affendi menyeru syarikat besar mengambil veteran ATM sebagai bentuk tanggungjawab sosial korporat dan membalas jasa mereka yang pernah berkorban untuk negara. – UTUSAN










