7,000 pekerja hotel diperlukan di KL - Utusan Malaysia

7,000 pekerja hotel diperlukan di KL

JALALUDDIN Alias dalam sidang akhbar perjumpaan bersama persatuan pemilik dan pengusaha hotel di Putrajaya. - UTUSAN/SITI 'AISYAH SUKAIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Kira-kira 7,000 pekerja diperlukan dalam industri perhotelan di Kuala Lumpur bagi merancakkan semula sektor pelancongan negara ditambah dengan pembukaan sempadan tidak lama lagi. 

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, industri perhotelan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tidak terkecuali menghadapi masalah kekurangan pekerjaan susulan pandemik Covid-19. 

“Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada industri perhotelan di Wilayah Persekutuan apabila kira-kira 8,600 pekerja (sebelum ini) diberhentikan dan tidak disambung perkhidmatan mereka. 

“Bagaimanapun, masalah di Kuala Lumpur (ketika ini) apabila kekurangan pekerjaan kira-kira 7,000 pekerja di dalam industri perhotelan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perjumpaan bersama beberapa persatuan pemilik dan pengusaha hotel di sini hari ini.

Beliau berkata, isu pekerjaan tersebut antara yang dibangkitkan sewaktu perjumpaan itu dan pihak kementerian akan membincangkan perkara itu dengan beberapa kementerian lain serta dikemukakan menerusi mesyuarat pasca Kabinet. 

Katanya, isu lain turut dibangkitkan dalam perjumpaan itu ialah sewaan penginapan melalui aplikasi Airbnb yang tidak berdaftar selain dilaksanakan secara dalam talian.

“Isu ini sudah lama sebenarnya, malah, di Kuala Lumpur sahaja, tidak kurang 11,000 premis dijadikan sebagai penempatan penginapan dan tumpuan pelancong melalui tempahan secara dalam talian. 

“Premis tersebut sedikit sebanyak memberi kesan kepada industri hotel. Jadi, saya lihat perkara ini lama ditimbulkan dan akan dibincangkan dengan pihak berkaitan bagaimana untuk kita ambil tindakan selanjutnya,” ujarnya. 

Jalaluddin berkata, jika aduan diterima oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkaitan kacau ganggu atau aktiviti tidak dibenarkan di premis tidak berdaftar ini, pihak tersebut akan mengambil tindakan.  

Ditanya mengenai bufet ditawarkan di hotel, beliau berkata, pemain industri perhotelan digalakkan untuk menjadikan musim Ramadan dan Aidilfitri akan datang sebagai usaha menarik pelancong dalam dan luar negara.

“Pihak hotel bersetuju untuk mengkaji bufet Ramadan ini supaya harganya sesuai dan boleh diterima oleh masyarakat. Kita ada pelbagai hotel (bintang) dan sudah tentu setiap harga ditawarkan adalah berbeza.

“Kementerian tidak boleh tetapkan harga tertentu, namun, kita menyarankan semua pengusaha dan pemilik hotel tidak meletakkan harga yang terlalu mahal. Yang penting, hotel kemukakan diskaun bagi tempahan awal untuk tarik seramai mungkin pelancong,” katanya. 

Mengulas mengenai isu pembaziran makanan khususnya Ramadan ini, beliau berkata, semua pihak bukan sahaja hotel, malah, pelanggan juga perlu memainkan peranan bagi mengelakkan ia berlaku. 

“Hotel tidak boleh menghalang jumlah makanan diambil pelanggan kerana mereka sudah tempah dan buat pembayaran serta boleh mengambil sebanyak mungkin makanan. 

“Namun, ada pihak tertentu mengambil makanan melebihi kemampuan. Jadi, dicadangkan hotel juga meletakkan tanda bagi mengelakkan sebarang pembaziran makanan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya