350,000 warga emas belum ambil dos penggalak

350,000 warga emas belum ambil dos penggalak

Seorang remaja mendaftar untuk mengambil vaksin penggalak Covid-19 secara walk-in di sebuah pasar raya di Kuantan, Pahang, semalam. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 350,000 warga emas yang sudah lengkap menerima vaksin Sinovac tetapi belum mengambil vaksin penggalak dinasihat segera berbuat demikian memandangkan mereka termasuk dalam kumpulan berisiko maut sekiranya dijangkiti Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar kesihatan komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kajian mendapati kumpulan berkenaan berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19, malah dua dos vaksin yang diterima tidak cukup untuk menghalang jangkitan va­rian Omicron.

“Warga emas yang ada masalah kesihatan atau komorbid seperti darah tinggi, kencing manis dan strok sememangnya berisiko tinggi untuk dijangkiti Omicron.

“Bukan Sinovac tidak berkesan langsung, tetapi, kurang keberkesanannya terhadap jangkitan Omicron. Kalau tidak segera ambil dos penggalak, jika dijangkiti, besar kemungkinan akan berada dalam kategori 3, 4 atau 5,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada masa sama, katanya, warga emas yang tidak mengambil dos penggalak juga berpotensi menjadi penyebar wabak.

“Mereka boleh jadi pembawa, boleh tersebar di rumah, menjangkiti suami, isteri dan anak-anak, ini yang membimbangkan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang merayu kepada 350,000 penerima dos primer Sinovac berusia 60 tahun ke atas supaya mendapatkan dos penggalak dengan segera.

“Sinovac mempunyai keberkesanan sederhana berbanding Pfizer dan masih ada 350,000 warga emas yang sudah ambil dos primer Sinovac belum menerima dos penggalak.

“Omicron tidak seteruk Delta tetapi bagi warga emas dengan komorbiditi, ia bukan penyakit yang ringan. Ia masih penyakit yang boleh mengancam nyawa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan anak-anak yang ada ibu bapa atau saudara mara dalam kelompok berkenaan tampil membawa individu tersebut ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Sekarang pun, kementerian sudah membenarkan mereka yang belum ambil dos penggalak untuk dapat datang secara terus ke mana-mana lokasi PPV berhampiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×