ARAU: Seramai 2,763 graduan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) akan menerima ijazah, diploma dan ijazah doktor falsafah (PhD) pada Istiadat Konvokesyen ke-15 yang diadakan secara fizikal bermula 5 hingga 8 Mac ini.
Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 60 graduan membabitkan PhD, ijazah sarjana (117); ijazah sarjana muda (2,294) dan diploma (292) yang berlangsung di Dewan Ilmu, Kampus Alam, Unimap, Pauh Putra menerusi lapan sidang.
Katanya, semua sidang istiadat konvokesyen tersebut akan disempurnakan oleh Canselor Unimap, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Pro Canselor Unimap, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
“Pada istiadat konvokesyen kali ini juga, Unimap turut menganugerahkan Anugerah Pelajaran Diraja kepada calon graduan cemerlang selain Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Naib Canselor dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Program Pengajian Siswazah.
“Selain itu, Unimap turut menghargai usaha gigih pelajar dengan menganugerahkan Hadiah Inovasi, Hadiah Kecemerlangan Akademik dan Hadiah Pelajaran,” katanya dalam sidang akhbar sempena istiadat konvokesyen tersebut di Kampus Alam Pauh Putra di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan Hadiah Pelajaran kepada sembilan pelajar cemerlang setiap fakulti di peringkat ijazah pertama dan diploma yang mendapat tajaan pemain industri.
Tambah Zaliman, dua tokoh kejuruteraan yang mempunyai pencapaian luar biasa akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan dan Ijazah Kehormat Sarjana Kejuruteraan pada konvokesyen tersebut.
Menyentuh mengenai perjalanan istiadat konvokesyen kali ini, beliau berkata, hanya graduan yang menerima ijazah masing-masing sahaja yang akan dibenarkan berada di dalam dewan konvokesyen berkenaan.
Katanya, manakala ibu bapa dan keluarga ditempatkan di kompleks dewan kuliah dan kolej kediaman Tengku Fauziah bagi mengikuti sidang tersebut secara langsung.
“Pendekatan itu dilakukan bagi mengelakkan perhimpunan beramai-ramai dan dianggarkan hanya 400 graduan sahaja yang menyertai setiap sidang yang diadakan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan hampir 100 peratus graduan Unimap kali ini mendapat pekerjaan selain ada menyambung pelajaran, menyertai kursus peningkatan kemahiran dan sebagainya. –UTUSAN ONLINE