SHAH ALAM: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, bahawa rakyat Sabah akan menukar kerajaan negeri itu sekali lagi, seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.
Beliau berkata, situasi tersebut dilihat akan berlaku setelah kerajaan yang dipimpin Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor didakwa gagal menyelesaikan isu serta masalah yang membelenggu rakyat negeri itu setelah sekian lama.
“Isu elektrik, air, jalanraya, video pengakuan rasuah, salah urus kontrak korek mineral (isu yang tidak diselesaikan kerajaan negeri ketika ini).
“Kerajaan Sabah kini mengalami ‘penyakit berangkai-rangkai’. Ia perlu diubati segera,” katanya ketika berucap pada sesi pengulunggan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 di Pusat Konvensyen IDCC, di sini hari ini.
Beliau turut menyindir Hajiji yang gagal ‘membungkus’ Bersatu dengan cuba menarik 24 ketua bahagian parti itu di Sabah untuk keluar daripada Bersatu.
Namun Ronald yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah berkata, cubaan Pengerusi GRS tersebut gagal apabila Bersatu berjaya melantik 24 ketua bahagian baru.
“Kalau kita melihat sejarah, Sabah merupakan negeri yang kerap bertukar kerajaan. Jadi, kita akan ulangi hal yang sama nanti.
“Sebab itu mereka (GRS) sedang membawa naratif bahawa Sabah perlu dipimpin daripada parti yang lahir dari negeri itu.
“Jadi, kita akan mulakan langkah memenangi PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16) dengan menang di Sabah terlebih dahulu,” tegasnya. – UTUSAN










