Warta Bukit Makro sebagai HSK - Utusan Malaysia

Warta Bukit Makro sebagai HSK

PEMANDANGAN yang menarik dari atas Bukit Makro, apabila dapat melihat keindahan bandar Maran. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Penduduk di daerah ini mohon kerajaan negeri membatalkan sebarang permohonan lesen pembalakan hutan di Bukit Makro di sini sekali gus mewartakan lokasi berkenaan sebagai kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).

Penduduk yakin tindakan berkenaan mampu mengekalkan kelestarian alam semula jadi di kawasan terbabit untuk tempoh jangka panjang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, suri rumah, Saadiah Md. Pilus, 57, tindakan membatalkan lesen pembalakan di hutan itu adalah keputusan tepat dan perlu disambut baik masyarakat setempat.

“Bila dapat berita tentang Hutan Bukit Makro akan dijadikan tempat pembalakan kita tidak setuju, sebab sebelum ini Maran sudah berdepan banjir teruk disebabkan pembangunan.

“Saya akui kita tidak boleh tolak pembangunan, tetapi pembangunan tidak dirancang boleh memberikan kemudaratan kepada penduduk.

“Jadi, kalau boleh memang hendak Hutan Bukit Makro diwartakan sebagai HSK, ini kerana lokasinya di kawasan bandar, kalau di kawasan pedalaman itu boleh jika hendak ditebang balak pun,” katanya ketika ditemui di bandar Maran di sini semalam.

Bagi Ramli Maarof, 63, yang merupakan pengusaha madu kelulut, langkah mewartakan hutan Bukit Makro sebagai HSK begitu penting kerana bukan sahaja untuk kehidupan masyarakat setempat malah hidupan liar dan alam sekitar.

“Bukit Makro ini perlu dilindungi sebaiknya dan Majlis Daerah Maran (MDM) perlu memperindahkan kawasan sekitarnya susulan ramai penduduk melakukan pendakian di situ.

“Tempat ini mampu menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong, khususnya pada setiap hujung minggu dan tidak sesuai untuk dilaksanakan aktiviti pembalakan. Sebab itu, penduduk Maran mahu tindakan kerajaan Pahang menyegerakan pewartaan kawasan hutan Bukit Makro,” katanya.

Tambahnya, kawasan hutan Bukit Makro itu juga merupakan sumber air semula jadi yang boleh digunakan penduduk setempat jika bekalan air terputus.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Zamberi Mohd. Sham, 59, juga yakin dengan mengazetkan hutan Bukit Makro sebagai HSK dapat menjamin kawasan itu daripada diteroka untuk pembalakan.

Katanya, jika kawasan hutan tersebut tidak ditukar statusnya, kegiatan sama pastinya akan berulang pada masa akan datang.

“Kita akui balak ada nilai komersial, keuntungan pula diberikan kepada beberapa individu dan kerajaan negeri tetapi khazanah alam itu lebih menguntungkan rakyat dengan pelaksanaan projek pelancong yang dilakukan MDM.

“Maran tiada lagi pusat pelancongan yang berdaya maju untuk tarik pelancong dan hutan Bukit Makro sepatutnya dimajukan sebagai agenda pelancong di Pahang dan ia telah pun dirintis oleh MDM,” katanya.

Rabu lalu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Mohd. Hizamri Mohd. Yasin memaklumkan lesen pembalakan di kawasan hutan berhampiran Bukit Makro dibatalkan dan segala aktiviti pra pembalakan di kawasan itu turut dihentikan.

Kata Mohd. Hizamri, kelulusan yang diberikan kepada Amanah Saham Pahang (Aspa) melibatkan kawasan seluas 40.47 hektar itu dibatalkan pada 17 Januari lalu. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya